Langkau ke kandungan utama

Menjawab buku "Jesus adalah Muslim?": #10: Tahun Jesus dilahirkan?

Senarai lengkap siri post ini di sini.

Pada muka surat 7 hingga 8 buku ini, penulis cuba memberikan suatu gambaran seolah-olah wujud suatu permasalahan besar tentang tahun kelahiran Jesus. Penulis cuba menyatakan oleh kerana Bible/Alkitab tidak dapat menyatakan dengan tepat tahun berapa Jesus dilahirkan, maka ia bukan daripada Tuhan. Penulis menulis:
"Oleh itu, tahun berapakah Jesus dilahirkan? Sekiranya Bible adalah kitab suci yang datang daripada Allah, mengapa persoalan perihal kelahiran Jesus berlaku perbezaan pendapat." (m/s 8)
Daripada kenyataan penulis tersebut, kita dapat membuat ringkasan argumen berikut:
  1. Kitab suci yang datang daripada Allah akan menyatakan tahun Jesus dilahirkan.
  2. Bible/Alkitab tidak menyatakan dengan jelas tahun bila Jesus dilahirkan.
  3. Maka, Bible/Alkitab bukan daripada Allah.
Suatu kenyataan dan tuduhan yang sangat berani! Malangnya, keberanian tersebut dibuat tanpa memikirkan kesannya ke atas kepercayaan penulis sendiri.

Saya berikan soalan berikut untuk anda fikirkan:
Dapatkah kita mengetahui bila Jesus dilahirkan dengan hanya merujuk kepada Al-Quran?
Dan,
Dapatkah kita mengetahui di mana Jesus dilahirkan dengan hanya merujuk kepada Al-Quran?
Jawapan untuk kedua-dua soalan tersebut adalah: Tidak, kita tidak dapat mengetahui bila dan di mana Jesus dilahirkan hanya dengan merujuk kepada Al-Quran.

Jika kita menggunakan logik kenyataan dan tuduhan sama yang diberikan sendiri oleh penulis, argumen berikut yang sama juga dapat digunakan ke atas kepercayaan penulis:
  1. Kitab suci yang datang daripada Allah akan menyatakan tahun Jesus dilahirkan.
  2. Al-Quran langsung tidak menyatakan tahun bila Jesus dilahirkan.
  3. Maka.... (Anda sendiri fikirkan kesimpulan yang akan diperolehi melalui argumen ini.)
Di dalam Bible/Alkitab, kita diberi maklumat-maklumat seperti nama tempat, nama individu, dan perincian peristiwa-peristiwa yang telah terjadi dalam memperkatakan tentang Jesus. Melalui maklumat-maklumat tersebut, kita dapat memeriksa kesahihannya melalui kaedah penyelidikan sejarah dan arkeologi. Melalui maklumat-maklumat ini juga kita dapat memastikan bahawa Jesus benar-benar wujud dan pernah berjalan di muka bumi ini kira-kira dua ribu tahun yang lalu.

Adakah hal seperti ini juga terdapat di dalam Al-Quran? Tidak. Tidak ada sebarang maklumat yang berguna untuk mengetahui di mana Jesus dilahirkan, tidak ada sebarang maklumat yang berguna untuk mengetahui anggaran tarikh kelahiran Jesus, dan tidak ada sebarang maklumat berguna yang boleh mengesahkan kewujudan Jesus secara sejarah.

Malah, tidak keterlaluan jika saya katakan semua fakta sejarah tentang Jesus (seperti anggaran tarikh kelahiran dan 'ketiadaan'-Nya, tempat kelahiran-Nya, dll) yang diberikan penulis di dalam buku ini adalah bersumberkan penyelidikan Bible/Alkitab!

Sekali lagi, penulis seperti meludah ke langit, sama seperti dakwaan yang diberikannya sebelum ini.

Hakikatnya, tujuan utama penceritaan Jesus di dalam Perjanjian Baru bukanlah untuk menyatakan tahun bila Dia dilahirkan. Yang ditekankan adalah Dia benar-benar telah lahir untuk menyempurnakan rencana Tuhan yang sangat luar biasa untuk umat manusia, iaitu penebusan dari dosa dan diselamatkan dari maut akibat dosa. Dan pada masa yang sama, maklumat-maklumat tentang tempat, individu, dan peristiwa turut dicatatkan di dalam keempat-empat kitab Injil.

Untuk apa maklumat-maklumat ini diberikan? Agar kita dapat menyelidikinya sama ada ia benar atau tidak, sama ada ia berpaksikan kepada realiti yang benar-benar telah terjadi atau tidak. Ia seperti para penulis Bible/Alkitab telah terlebih dahulu menyatakan, "kamu tidak percaya kepada cerita tentang peristiwa kehidupan Jesus? Saya telah memberikan maklumat-maklumat seperti nama individu, tempat dan peristiwa di dalam kitab Injil, periksalah sendiri."

Maka, apa yang cuba digambarkan oleh penulis sebagai suatu kelemahan ini sebenarnya adalah suatu kekuatan kepada Bible/Alkitab. Ini menunjukkan betapa Tuhan itu Maha Bijaksana, kerana Dia telah memberikan ilham kepada penulis-penulis kitab di dalam Bible/Alkitab untuk menyediakan suatu jawapan (dalam bentuk maklumat-maklumat sejarah) kepada persoalan-persoalan yang mempertikaikan kesahihan peristiwa kehidupan Jesus sebelum persoalan-persoalan tersebut timbul.

[Persoalan-persoalan yang mempertikaikan kewujudan Jesus tersebut benar-benar timbul! Contohnya, pada abad ke-18 dan ke-19, telah wujud teori yang mengatakan Jesus adalah mitos dan diciplak dari kepercayaan-kepercayaan kuno. Teori tersebut tersebar luas di dalam dunia akademik pada era tersebut.

Namun, dakwaan tersebut sudah tidak dipandang serius lagi oleh mana-mana penyelidik hari ini kerana maklumat-maklumat yang ada di dalam Bible/Alkitab (bukan Al-Quran) tentang Jesus telah membuktikan Jesus benar-benar wujud dan bukan diciplak dari mana-mana kepercayaan kuno.

Yang mengejutkan, penulis telah menggunakan teori yang sudah terbukti tidak relevan ini di dalam bukunya! Hal ini akan diperkatakan dengan lebih lanjut apabila siri post ini sampai ke bahagian tersebut.]

Ulasan