Langkau ke kandungan utama

Siri Apologetik - Dari Apologia ke Apologetik


Berdasarkan/terjemahan buku Faith Has Its Reasons, muka surat 18-21.

Apologetik mungkin boleh dijelaskan secara mudah sebagai mempertahankan iman/kepercayaan Kristian. Namun, penjelasan yang kelihatan mudah ini sebenarnya menutupi kerumitan dalam memberikan definisi tepat untuk apologetik. Sebenarnya, wujud kepelbagaian pendekatan yang telah digunakan dalam usaha untuk memberikan maksud, skop, dan tujuan apologetik.

Dari Apologia ke Apologetik

Perkataan "Apologetik" terbit dari perkataan Greek apologia, yang pada asalnya adalah suatu bentuk hujah yang digunakan untuk memberikan pembelaan atau memberikan jawapan kepada persoalan. Di Kota Athena kuno, ia merujuk kepada pembelaan diri yang diberikan di dalam mahkamah sebagai sebahagian daripada prosedur kehakiman. Selepas pertuduhan diberikan, defendan dibenarkan untuk menidakkan dakwaan tersebut melalui pembelaan diri atau jawapan (apologia). Si tertuduh akan cuba untuk "speak away" (apo = away, logia = speak) terhadap pertuduhan yang diberikan.[1] Contoh klasik untuk apologia seperti itu adalah pembelaan diri Socrates terhadap dakwaan bahawa dia menyebarkan kepercayaan tentang dewa-dewa asing, pembelaan yang diceritakan semula oleh muridnya yang terkenal, Plato, di dalam sebuah dialog bertajuk The Apology (dalam bahasa Greek, hÄ“ apologia).

Perkataan ini digunakan 17 kali di dalam Perjanjian Baru, dalam bentuk kata nama atau kata kerja, dan kedua-duanya, iaitu kata nama (apologia) dan kata kerja (apologeomai) boleh diterjemahkan sebagai "pembelaan" atau "mempertahankan nama baik" dalam setiap penggunaan.[2] Selalunya, perkataan ini digunakan untuk merujuk kepada hujah yang diberikan oleh seseorang untuk membela dirinya. Contohnya, di dalam satu ayat, Lukas mencatatkan tentang seorang Yahudi bernama Aleksander cuba "membela diri" di hadapan orang ramai yang sedang marah di Efesus yang mana diapi-apikan oleh pembuat patung berhala kerana perniagaan mereka terancam oleh kerana pengajaran Paulus (Kis 19:33). Lukas juga menggunakan perkataan ini untuk merujuk kepada situasi di mana orang-orang Kristian, khususnya Rasul Paulus, dibicarakan kerana menyebarkan iman tentang Kristus dan perlu membela mesej mereka terhadap pertuduhan yang mendakwa perbuatan mereka adalah salah (Lukas 12:11; 21:14; Kis 22:1; 24:10; 25:8, 16; 26:2, 24).

Paulus sendiri menggunakan perkataan ini dalam pelbagai konteks di dalam surat-suratnya. Kepada orang-orang di Korintus, dia melihat suatu keperluan untuk "membela" dirinya terhadap kritikan ke atas dakwaannya sebagai seorang rasul (1 Kor 9:3; 2 Kor 12:19). Ada suatu ketika dia menggambarkan pertaubatan yang dilakukan oleh orang-orang di Korintus sebagai "pembelaan diri" (2 Kor 7:11, TB), iaitu, "berusaha untuk membuktikan bahawa kamu tidak bersalah" (TMV). Kepada orang-orang Roma, Paulus menjelaskan bahawa orang bukan Yahudi yang tidak mengetahui tentang hukum Taurat sebagai mempunyai kesedaran yang cukup tentang hukum Tuhan, di mana, fikirkan mereka akan menuduh atau "membela" mereka pada hari Penghakiman (Rm 2:15). Ketika menghampiri penghujung hidupnya, Paulus memberitahu Timotius, "Tidak seorang pun mendampingi aku ketika aku membela diriku kali pertama" (2 Tim 4:16, TMV), merujuk kepada kali pertama dia dibicarakan. Penggunaan perkataan ini oleh Paulus adalah serupa dengan penulisan Lukas. Sebelum itu, dia telah menyatakan rasa terima kasihnya kepada orang-orang di Filipi kerana menyokongnya "pada waktu aku dipenjarakan, maupun pada waktu aku membela dan meneguhkan Berita Injil" (Flp 1:7). Di sini sekali lagi kita melihat konteks konflik yang dihadapi oleh Paulus dengan pemerintah dan dipenjarakan. Namun, fokus kepada "pembelaan" ini bukanlah Paulus tetapi "Berita Injil": Pelayanan Paul termasuk membela Injil terhadap penentangnya, terutamanya mereka yang mendakwa ia (Injil) adalah bersifat subversif atau dikatakan melanggar undang-undang. Maka, di dalam bab yang sama, Paulus kemudian menyatakan hal berikut: "aku ada di sini untuk membela Injil" (Flp 1:16).

Terakhir, di dalam 1 Petrus 3:15, orang-orang percaya diberitahu agar "memberikan jawapan kepada sesiapa sahaja yang meminta kamu menjelaskan harapan yang kamu miliki." (TMV). Konteks di sini adalah serupa dengan yang terdapat di dalam penulisan Paulus dan Lukas: orang-orang bukan Kristian memfitnah orang-orang Kristian dan mengugut mereka dengan penindasan (1 Ptr 3:13-17; 4:12-19). Apabila dicabar atau diugut, orang-orang Kristian perlu bertindak sesuai dengan undang-undang, kekal berfikiran waras, dan memberikan pembelaan yang munasabah kepada sesiapa pun yang bertanya tentang kepercayaan mereka. (Kita akan membincangkan hal ini dengan lebih lanjut pada bab 2.)

Oleh itu, Perjanjian Baru tidak menggunakan perkataan apologia dan apologeomai dalam maksud teknikal yang sama dengan penggunaan moden perkataan apologetik. Idea tentang memberikan penjelasan munasabah kepada iman adalah jelas di dalam tiga ayat ini (Filipi 1:7, 16; dan khususnya 1 Petrus 3:15), namun di sini tidak ada sebarang kaedah atau disiplin akademik tentang apologetik dicadangkan. Memang tidak ada sistem khusus atau teori apologetik yang dihuraikan di dalam Perjanjian Baru.

Pada abad kedua, perkataan umum untuk "membela" ini mulai membentuk maksud yang lebih terperinci untuk merujuk kepada kumpulan penulis yang mempertahankan kepercayaan dan amalan Kristianiti terhadap  pelbagai serangan. Mereka ini dikenali sebagai apologis kerana tajuk beberapa buah penulisan mereka, contohnya, Justin Martyr (First Apology, Dialogue with Trypho, Second Apology) dan Tertullian (Apologeticum). Penggunaan tajuk Apology oleh penulis-penulis ini mengingatkan kembali Apology oleh Plato dan kepada penggunaan perkataan tersebut di dalam Perjanjian Baru. Ia konsisten dengan penekanan yang diberikan oleh penulis-penulis abad kedua ini iaitu mempertahankan Kristianiti dari tuduhan menyalahi undang-undang ketika itu.

Hanya pada tahun 1794 perkataab apologetik digunakan untuk merujuk kepada disiplin teologikal khusus,[3], dan mulai dari itu wujud suatu perdebatan tentang kedudukan disiplin ini di dalam pemikiran Kristian. Pada tahun 1908, B. B. Warfield telah mengkatalogkan sebilangan daripada persepsi yang berbeza-beza tersebut sebelum memberikan kesimpulannya sendiri iaitu apologetik perlu diberikan skop tugas yang luas untuk mengesahkan fakta-fakta tentang Tuhan (philosophical apologetics), kesedaran keagamaan, (psychological apologetics), wahyu (revelational apologetics), Kristianiti (historical apologetics), dan Alkitab (bibliological apologetics, kepakaran Warfield sendiri).[4] Greg L. Bahnsen menyimpulakan katalog Warfield seperti berikut:
Ada yang cuba membezakan apologetik dengan apologi, namun perbezaan kedua-duanya adalah menurut prinsip pembezaan (Dusterdieck, Kubel). Apologetik diklasifikasikan secara pelbagai iaitu sebagai disiplin pentafsiran (Planck), teologi secara sejarah (Tzschirner), teori agama (Rabiger), teologi secara falsafah (Schleiermacher), sesuatu yang berbeza dari polemik (Kuyper), sesuatu yang termasuk di dalam beberapa jurusan (Tholuck, Cave), atau sesuatu yang tidak berhak untuk wujud (Nosselt). H. B. Smith melihat apologetik sebagai dogmatika secara sejarah-falsafah yang memperkatakan tentang soalan-soalan terperinci, tetapi Kubel mendakwa yang ia hanya memperkatakan tentang dasar Kristianiti. Schultz pergi lebih jauh dengan mengatakan apologetik hanyalah mempertahankan perspektif keagamaan dunia secara umum, namun yang lain berpendapat apologetik sepatutnya bertujuan menjadikan Kristianiti sebagai kepercayaan yang terakhir (Sack, Ebrard, Lechler, Lemme).[5]
Perdebatan ini telah berterusan sepanjang abad kedua puluh. Di dalam bab ini, kami akan memberikan definisi-definisi perkataan di berkaitan apologetik dan mempertimbangkan cara terbaik untuk memahami disiplin apologetik ini.

Seterusnya: Apologetik dan istilah-istilah yang berkaitan.
(Senarai penuh siri ini di sini.)

Nota Kaki
[1] Martin Batts, “A Summary and Critique of the Historical Apologetic of John Warwick
Montgomery” (Th.M. thesis, Dallas Theological Seminary, 1977), 1.

[2] Melainkan dinyatakan sebaliknya, semua petikan Alkitab adalah daripada “Edisi Terbaru” Alkitab Today's Malay Version (TMV), atau Terjemahan Baru Lembaga Alkitab Indonesia (LAI)".

[3] Greg L. Bahnsen, “Socrates or Christ: The Reformation of Christian Apologetics,” in 
Foundations of Christian Scholarship: Essays in the Van Til Perspective, ed. Gary North 
(Vallecito, Calif.: Ross House, 1976), 191.

[4] Benjamin B. Warfield, “Apologetics,” in Studies in Theology, The Works of Benjamin B. 
Warfield, vol. 9 (New York: Oxford University Press, 1932; Grand Rapids: Baker, 1981), 3-21.

[5] Bahnsen, “Socrates or Christ,” 193.

Ulasan