Langkau ke kandungan utama

Menjawab buku "Jesus adalah Muslim?": #13: Tiga persoalan "Adakah...?"

Senarai lengkap siri post ini di sini.

Penulis cuba menimbulkan persoalan tentang apa yang telah dilakukan Jesus sebelum Dia mencapai umur 30 tahun kerana "Tiada maklumat jelas perihal apa yang dilakukan oleh Jesus selama 18 tahun itu." (m/s 10). Namun, seperti yang telah dinyatakan di dalam post sebelum ini, persoalan ini sebenarnya memberikan impak yang lebih besar ke atas kepercayaan penulis sendiri.

Penulis kemudian memberikan tiga persoalan yang bersifat retorik. Walaupun ia hanyalah soalan retorik, berikut adalah respon kepada persoalan-persoalan tersebut.

Soalan pertama:
"Adakah Jesus berguru dengan mana-mana imam Yahudi ataupun belajar dengan Nabi Zakaria?"
Jawapan:
Tidak dinyatakan di dalam Bible. Hanya dinyatakan Jesus semakin membesar dan bertambah hikmat-Nya. (Luk 2:40, 52)
-------------------------------
Soalan kedua:
"Adakah beliau bekerja sebagai tukang kayu?"
Jawapan:
Sebelum Jesus memulakan pelayanan-Nya (Luk 3:23), Dia adalah seorang tukang kayu. (Mrk 6:3)
-------------------------------
Soalan ketiga:
"Adakah beliau ke India menyebarkan risalah ketuhanan kepada Yahudi Samiri yang mengaku pengikut Nabi Musa tetapi menyembah patung sapi emas?"
Jawapan:
Untuk soalan ini, agak menarik kerana penulis kelihatan mempercayai bahawa Jesus benar-benar telah ke India apabila beliau mengatakan:
"Yahudi di India perlu diajak supaya kembali menyembah Allah, bukan mendewakan sapi seperti nenek moyang mereka."
Namun, penulis kemudian seperti ragu-ragu:
"Namun, hal ini juga tidak jelas."
Kenyataan yang diberikan oleh penulis ini menimbulkan persoalan tentang maksud beliau pada frasa "hal ini juga tidak jelas." Bible/Alkitab tidak pernah menyatakan sama ada secara langsung atau tidak langsung, bahawa kononnya Jesus pernah ke India. Maka, apa yang tidak jelas di sini? Kerana menurut perspektif Kristianiti, jelas dinyatakan Jesus tidak pernah dikatakan telah pergi ke India.

Teori bahawa Jesus pernah ke India ini sebenarnya dimulakan oleh seorang pengembara dan wartawan Russia, Nicolas Notovitch, yang mendakwa telah menemui sebuah kitab di sebuah biara di Ladakh, India, pada tahun 1887.[1] Namun, dakwaan Nicolas Notovitch ini kemudiannya diselidiki dan didapati adalah palsu.[2] Malah, setelah penipuannya didedahkan, Nicolas Notovitch sendiri mengakuinya![3]

Satu hal yang menarik adalah teori ini dipercayai oleh kumpulan Ahmadiyyah,[4] kumpulan yang dianggap sesat oleh majoriti penganut Islam di seluruh dunia.

Nota:
[1] The Unknown Life of Jesus Christ, by Nicolas Notovich. Boleh dibaca secara online di sini.
[2] New Testament Apocrypha, Vol. 1: Gospels and Related Writings by Wilhelm Schneemelcher and R. Mcl. Wilson, muka surat 84. Boleh dibaca secara online di sini.
[3] Indology, Indomania, and Orientalism by Douglas T. McGetchin, muka surat 133. Boleh dibaca secara online di sini.
[4] Sumber sama dengan nota [2].

Ulasan