Langkau ke kandungan utama

Menjawab buku "Jesus adalah Muslim?": #8: Biografi Jesus?

Senarai lengkap siri post ini di sini.

Di bawah tajuk "Menjejaki Biografi Jesus" (m/s 6), penulis mendakwa "Perjanjian Baru tidak menceritakan secara terperinci kronologi kehidupan Jesus". Penulis juga dengan beraninya mengatakan "kita tidak akan menemui sejarah yang jelas berkaitan peribadi Jesus, terutamanya kisah Jesus ketika berusia bawah 30 tahun".

Mungkin penulis perlu menilai semula dakwaannya ini secara konsisten. Maksud konsisten di sini adalah menilai kitab Al-Quran menggunakan penilaian sama yang digunakannya untuk menilai Perjanjian Baru.

Hakikatnya, Perjanjian Baru memberikan perincian yang jauh lebih banyak berbanding apa yang tertulis di dalam Al-Quran. Terdapat empat kitab Injil yang memberikan perincian berikut: kelahiran-Nya, kehidupan-Nya, pengajaran-Nya, kematian-Nya, dan kebangkitan-Nya. Melalui Perjanjian Baru, kita tahu apa yang terjadi kepada Jesus. 

Perincian tentang Jesus yang terdapat di dalam Al-Quran pula terpisah-pisah, berselerak dan diselitkan di dalam surah-surah tertentu sehingga bercampur-aduk dengan penceritaan lain yang tidak berkaitan dengan biografi Jesus. Malah, seperti yang telah diperkatakan di dalam post #7, terdapat unsur-unsur legenda yang telah diselitkan di dalam penceritaan tentang Jesus di dalam Al-Quran.

Dan yang paling ironik, walaupun perincian di dalam Al-Quran yang terpisah-pisah ini tidak tersusun mengikut sebarang kronologi, penulis menuduh Perjanjian Baru "tidak menceritakan secara terperinci kronologi kehidupan Jesus". Mungkin penulis terlupa apakah maksud kronologi, iaitu "susunan peristiwa (kejadian) menurut masa berlakunya peristiwa berkenaan."[1] 

Maka, tidak keterlaluan jika saya katakan melalui dakwaan seperti ini, penulis seperti meludah ke langit.

Ulasan