Langkau ke kandungan utama

Menjawab buku "Jesus adalah Muslim?": #12: Pekerjaan Jesus?

Senarai lengkap siri post ini di sini.

Penulis memberikan ayat dari Injil Lukas 3:23 berikut:
"Menurut pandangan orang, Jesus memulakan pekerjaannya ketika dia berumur kira-kira 30 tahun." (Luke, 3:23)
Selepas itu, penulis cuba menimbulkan persoalan berikut:
"Ayat di atas juga tidak menjelaskan pekerjaan yang dilakukan oleh Jesus, sama ada tukang kayu, penggembala biri-biri ataupun menyebarkan agama Nasrani."
Sebelum menjawab persoalan penulis, perlu diketahui bahawa struktur ayat Luke 3:23 yang diberikan oleh penulis di dalam bukunya ini adalah berbeza dengan struktur ayat sebenar seperti yang terdapat di dalam Bible/Alkitab. Versi yang diberikan penulis ini membawa maksud umur ketika Jesus dikatakan memulakan pekerjaan-Nya, iaitu 30 tahun, adalah "menurut pandangan orang" semata-mata. Sedangkan, ayat sebenar tidak membawa maksud sedemikian.

Berikut saya berikan beberapa versi rasmi ayat sebenar Luke 3:23, dan anda sendiri menilai perbezaan maksud ayat tersebut berbanding versi ayat Luke 3:23 yang diberikan oleh penulis:
"Ketika Yesus memulai pekerjaan-Nya, Ia berumur kira-kira tiga puluh tahun dan menurut anggapan orang, Ia adalah anak Yusuf, anak Eli," (Luke 3:23, TB)
"Ketika Yesus memulakan pelayanan-Nya, Dia berumur kira-kira tiga puluh tahun. Menurut pendapat orang, Dia anak Yusuf anak Eli," (Luke 3:23, TMV)
"Pada waktu Yesus mulai pekerjaan-Nya, Ia berumur kira-kira tiga puluh tahun. Menurut pendapat orang, Ia anak Yusuf, anak Eli," (Luke 3:23, BIS)
"So Jesus, when he began his ministry, was about thirty years old. He was the son (as was supposed) of Joseph, the son of Heli," (Luke 3:23, NET)
Sangat jelas maksud yang akan kita perolehi melalui ayat sebenar Luke 3:23 jauh berbeza dengan maksud yang akan kita perolehi melalui versi penulis! Sama ada hal ini disengajakan atau tidak, hanya penulis yang tahu.

Tentang perkataan "pekerjaan" di dalam ayat Luke 3:23

Jika kita membaca terjemahan-terjemahan yang diberikan di atas, kita akan segera mengetahui perkataan "pekerjaan" yang dipersoalkan oleh penulis sebenarnya merujuk kepada "pelayanan" Jesus, iaitu pelayanan-Nya/tugas-Nya/pekerjaan-Nya dalam memberitakan tentang Injil; iaitu keselamatan dari maut melalui kematian dan kebangkitan-Nya.

Maka, mengapa penulis boleh terpesong jauh sehingga mengandaikan perkataan "pekerjaan" tersebut sebagai pekerjaan biasa kita sehari-hari, seperti tukang kayu atau penggembala biri-biri? Adakah ia suatu cubaan penulis untuk mengelirukan pembacanya dengan menggambarkan seolah-olah maksud "pekerjaan" tersebut tidak dinyatakan di dalam seluruh Perjanjian Baru?

Lebih ironik lagi, ayat sebelum Luke 3:23 menyatakan Allah Bapa menyebut Jesus sebagai "Anak-Ku yang Kukasihi, kepada-Mulah Aku berkenan." (Luke 3:22). Bukankah itu jelas suatu kenyataan yang mengatakan Jesus sebagai Anak Allah, sekaligus menyatakan keilahian Jesus?
(Pada bab 4 buku ini, penulis ada menyebut tentang Luke 3:22 ini, dan mengakui Perjanjian Baru memang ada menyatakan pengakuan Jesus sebagai "Anak Allah". Namun, penulis cuba memesongkan maksud gelaran "Anak Allah" tersebut. Akan diperkatakan dengan lebih lanjut apabila sampai ke bahagian tersebut.)

Ulasan