Langkau ke kandungan utama

Siri persoalan umum: Bagaimana Yesus boleh menjadi Tuhan jika Dia mengatakan hanya Tuhan yang baik?

Post ini berdasarkan/terjemahan artikel ini.

Soalan:
Bagaimana Yesus boleh menjadi Tuhan jika dia menafikan dirinya baik, dan berkata hanya Tuhan yang baik (Markus 10:18)?

Jawapan:

Konteks ayat tersebut adalah berikut:
"Ketika Yesus meneruskan perjalanan-Nya, seorang lelaki berlari ke arah Yesus. Dia sujud di hadapan Yesus lalu bertanya, "Guru yang baik, apakah yang harus saya lakukan supaya beroleh hidup sejati dan kekal?" "Mengapa kamu mengatakan Aku baik?" tanya Yesus. "Tiada seorang pun yang baik kecuali Allah."" (Markus 10:17-18, TMV)
Dengan memetik ayat tersebut tanpa mengambil kira konteks keseluruhannya, gambaran yang diberikan adalah Tuhan Yesus menafikan keTuhanan-Nya kerana Dia menafikan diri-Nya sebagai baik dalam erti kata Tuhan itu baik. Logik si penyoal adalah seperti berikut:
  1. Hanya Tuhan yang baik (sepenuhnya).
  2. Yesus tidak baik (sepenuhnya).
  3. Maka, Yesus bukan Tuhan.
Pemilihan yang mengelirukan ini membawa kepada kesimpulan si penyoal yang tidak tepat di mana dia menidakkan kebaikan Yesus. Dia secara automatik mengandaikan sedang menafikan kesucian mutlaknya tanpa mengambil kira konteks keseluruhan Injil Markus, dan juga seluruh Perjanjian Baru, dengan tidak melihat sama ada adakah itu hal yang hendak disampaikan oleh Kristus.

Dengan kata lain, untuk kita benar-benar memahami maksud Yesus, kita perlu menafsir kata-kata-Nya berdasarkan gambaran Kristologi keseluruhan yang diberikan oleh para penulis kitab Injil, khususnya dalam melihat Kristologi Injil Markus. Setelah hal ini dilakukan, kita akan dapat melihat dengan jelas bahawa perkara yang tidak akan dilakukan oleh Markus (dan penulis-penulis kitab Injil yang lain) adalah meragui kesucian (tanpa dosa) mutlak dan keTuhanan Yesus. Berikut adalah beberapa petikan daripada Markus yang dapat membantu kita melihat hal ini dalam perspektif yang sepatutnya:
"Kemudian Yesus datang dari Nasaret di negeri Galilea, lalu Yohanes membaptis Dia di Sungai Yordan. Sebaik sahaja Yesus keluar dari sungai itu, Dia nampak langit terbuka dan Roh Allah seperti burung merpati turun ke atas-Nya. Lalu terdengarlah suara Allah, "Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Engkau menyenangkan hati-Ku."" (Markus 1:9-11, TMV)
"Pada waktu itu di dalam rumah ibadat itu ada seorang yang kerasukan roh jahat. Orang itu berteriak: "Apa urusan-Mu dengan kami, hai Yesus orang Nazaret? Engkau datang hendak membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau: Yang Kudus dari Allah." Tetapi Yesus menghardiknya, kata-Nya: "Diam, keluarlah dari padanya!" Roh jahat itu menggoncang-goncang orang itu, dan sambil menjerit dengan suara nyaring ia keluar dari padanya. Mereka semua takjub, sehingga mereka memperbincangkannya, katanya: "Apa ini? Suatu ajaran baru. Ia berkata-kata dengan kuasa. Roh-roh jahatpun diperintah-Nya dan mereka taat kepada-Nya."" (Markus 1:23-27, TB)
"Enam hari kemudian Yesus membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes, pergi menyendiri ke sebuah gunung yang tinggi. Ketika mereka memandang Yesus, rupa Yesus berubah. Pakaian-Nya menjadi putih bersinar-sinar. Tiada sesiapa pun di bumi dapat membasuh kain sehingga menjadi seputih itu. Lalu ketiga-tiga orang pengikut itu nampak Elia dan Musa berkata-kata dengan Yesus. Petrus berkata kepada Yesus, "Guru, sungguh baik kami di sini. Kami akan mendirikan tiga buah khemah: satu untuk Guru, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Elia." Sebenarnya Petrus tidak mengetahui apa yang harus dikatakannya, kerana dia dan kedua-dua orang kawannya sangat takut. Lalu awan meliputi mereka dan terdengar suara dari awan berkata, "Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dengarkanlah Dia!"" (Markus 9:2-7, TMV)
"Hanya tinggal seorang yang dapat diutus, iaitu anaknya sendiri yang dikasihinya. Akhirnya pemilik ladang itu mengutus anaknya kepada penyewa-penyewa ladang itu. ‘Tentu mereka akan menghormati anakku,’ katanya. Tetapi penyewa-penyewa ladang itu bercakap sesama sendiri, ‘Ini dia anak pemilik ladang. Marilah kita bunuh dia, supaya kita dapat hartanya!’" (Markus 12:6-7, TMV)
Yesus adalah Anak Allah yang dikasihi-Nya, Yang Kudus, Waris (anak pemilik ladang) yang mana dikasihi-Nya. Untuk Allah berkenan kepada Tuhan Yesus, dan untuk Dia dipanggil sebagai Yang Kudus dari Allah, menunjukkan bahawa Kristus adalah sangat baik secara mutlak.
"Sementara Yesus berkata-kata, datanglah empat orang yang mengusung seorang lumpuh. Tetapi kerana terlalu banyak orang, mereka tidak dapat membawa dia kepada Yesus. Oleh itu mereka membuka bumbung rumah yang terletak tepat di atas tempat Yesus. Kemudian mereka menurunkan orang lumpuh yang terbaring di atas tikar. Yesus melihat bahawa mereka sangat beriman. Oleh itu Dia berkata kepada orang lumpuh itu, "Anak-Ku, dosamu sudah diampunkan." Beberapa orang guru Taurat yang duduk di situ berkata dalam hati, "Alangkah beraninya dia mengkufuri Allah! Tidak seorang pun boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!" Pada ketika itu juga Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka, lalu Dia berkata kepada mereka, "Mengapa kamu berfikir demikian? Manakah yang lebih mudah: mengatakan, ‘Dosamu sudah diampunkan’ atau ‘Bangunlah, angkat tikarmu, dan berjalan’? Tetapi kepada kamu Aku akan membuktikan bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa." Lalu Yesus berkata kepada orang lumpuh itu, "Bangunlah, angkat tikarmu, dan pulanglah!" Di hadapan mereka semua, orang lumpuh itu bangkit, mengangkat tikarnya, dan segera keluar. Semua orang di situ tercengang-cengang lalu memuji Allah. Mereka berkata, "Belum pernah kami lihat perkara seperti ini!"" (Markus 2:3-12, TMV)
"Anak Manusia tidak datang untuk dilayani; Dia datang untuk melayani orang serta menyerahkan nyawa-Nya untuk membebaskan banyak orang."" (Markus 10:45, TMV)
"Yesus berkata, "Inilah darah-Ku yang dicurahkan untuk banyak orang, darah yang mengesahkan perjanjian Allah." (Markus 14:24, TMV)
Kristus boleh mengampunkan dosa atas kuasa keilahian yang ada pada-Nya, dan seterusnya mengorbankan nyawanya untuk membebaskan banyak orang. Satu-satunya cara untuk Kristus boleh melakukan mengampunkan dosa dan menjadi penebus adalah jika Dia tidak mempunyai dosa. Jika tidak, Dia sendiri memerlukan pengampunan untuk dosanya dan memerlukan penebusan.
"Oleh itu Anak Manusia juga berkuasa atas hari Sabat." (Markus 2:28, TMV)
Hanya Tuhan yang berkuasa atas hari Sabat.
"Ada enam hari untuk kamu bekerja, tetapi ingatlah bahawa hari ketujuh, iaitu hari Sabat, adalah hari rehat. Jangan bekerja pada hari itu, tetapi berkumpullah untuk beribadat. Hari Sabat itu hari yang dikhaskan bagi TUHAN, di mana sahaja kamu tinggal." (Imamat 23:3, TMV)
Satu-satunya cara untuk Yesus berkuasa atas hari Sabat adalah jika Dia adalah Tuhan, namun untuk menjadi Tuhan Dia perlu sepenuhnya baik.
"Jika seseorang malu mengakui Aku dan ajaran-Ku pada zaman yang derhaka dan jahat ini, Anak Manusia juga akan malu mengakui orang itu, apabila Dia datang kelak dengan kemuliaan Bapa-Nya berserta malaikat-malaikat-Nya yang suci."" (Markus 8:38, TMV)
"Sewaktu Yesus mengajar di Rumah Tuhan, Dia bertanya, "Bagaimanakah guru Taurat boleh mengatakan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah itu keturunan Daud? Sedangkan Daud, ketika diilhami oleh Roh Allah, berkata, ‘Tuhan telah berfirman kepada Tuhanku: duduklah di sebelah kanan-Ku sehingga Aku menakluki musuh-Mu ke bawah kaki-Mu.’ Daud menyebut Penyelamat yang diutus oleh Allah itu ‘Tuhan’. Bagaimana mungkin Penyelamat yang diutus oleh Allah itu keturunan Daud?" Orang ramai di Rumah Tuhan suka mendengar ajaran Yesus." (Markus 12:35-37, TMV)
"Barulah Anak Manusia akan kelihatan datang dikelilingi awan dengan kekuasaan besar dan kemuliaan. Dia akan mengutus malaikat-malaikat ke empat penjuru bumi untuk mengumpulkan umat pilihan-Nya dari hujung bumi ke hujung langit."" (Markus 13:26-27, TMV)
"Tetapi Ia tetap diam dan tidak menjawab apa-apa. Imam Besar itu bertanya kepada-Nya sekali lagi, katanya: "Apakah Engkau Mesias, Anak dari Yang Terpuji?" Jawab Yesus: "Akulah Dia, dan kamu akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Yang Mahakuasa dan datang di tengah-tengah awan-awan di langit."" (Markus 14:61-62, TMV)
Kristus menyatakan diri-Nya sebagai Anak Manusia yang telah dilihat oleh Nabi Daniel di dalam pengelihatan, iaitu Dia yang akan memerintah selama-lamanya dan mesti disembah oleh semua bangsa:
"Dalam penglihatanku pada malam itu, aku nampak sesuatu yang seperti manusia. Dia datang diliputi awan, lalu menghampiri Dia yang hidup selama-lamanya, dan dihadapkan kepada-Nya. Dia diberikan kuasa, kehormatan, dan kedaulatan, agar orang daripada semua bangsa, kaum, dan bahasa mengabdikan diri kepadanya. Kuasanya akan kekal, dan pemerintahannya tidak akan berakhir." (Daniel 7:13-14, TMV)
Maka, Yesus adalah Anak Manusia yang duduk bertahkta selama-lamanya di sebelah kanan Allah sebagai Tuhan atas seluruh malaikat dan seluruh ciptaan!

Semua yang diberikan ini hanyalah sebahagian daripada Injil Markus yang mengesahkan kekudusan mutlak dan ketiadaan dosa di dalam diri Tuhan Yesus. Berikut adalah beberapa ayat daripada Injil Yohanes:
"Jawab Simon Petrus kepada-Nya: "Tuhan, kepada siapakah kami akan pergi? Perkataan-Mu adalah perkataan hidup yang kekal; dan kami telah percaya dan tahu, bahwa Engkau adalah Yang Kudus dari Allah."" (Yoh 6:68-69, TB)
"Orang ramai berbisik-bisik tentang Dia. Beberapa orang berkata, "Dia orang baik." Yang lain berkata, "Tidak! Dia menyesatkan orang!".... Seorang yang mengajarkan ajarannya sendiri, mencari kehormatan bagi dirinya sendiri. Tetapi seorang yang menghendaki kehormatan untuk orang yang mengutusnya, orang itu jujur dan tidak ada kepalsuan padanya." (Yoh 7:12, 18, TMV)
Sebilangan orang ramai yang mendengar Yesus mengakui bahawa Yesus itu baik, dan Yesus kemudian juga mengatakan tidak ada yang kepalsuan pada diri-Nya. Dengan kata lain, Yesus bukan sahaja bersetuju dengan dengan mereka yang mengatakan diri-Nya baik, Dia pergi lebih jauh dengan menyatakan bahawa Dia sepenuhnya baik!
"Dia yang mengutus Aku ada bersama-sama Aku. Dia tidak pernah membiarkan Aku sendirian, kerana Aku sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya.".... Siapakah antara kamu dapat membuktikan bahawa Aku berdosa? Jika Aku mengatakan apa yang benar, mengapa kamu tidak percaya kepada-Ku?" (Yoh 8:29, 46. TMV)
"Akulah gembala yang baik. Gembala yang baik mengorbankan nyawa untuk kawanan dombanya..... Akulah gembala yang baik. Sebagaimana Bapa mengenal Aku dan Aku mengenal Bapa, begitu juga Aku mengenal domba-domba-Ku dan mereka pun mengenal Aku. Aku mengorbankan nyawa untuk mereka." (Yoh 10:11, 14. TMV)
Sebagai kesimpulan kepada maklumat-maklumat yang kita perolehi, kita mendapat tahu bahawa:
  1. Yesus adalah Yang Kudus dari Allah.
  2. Yesus adalah Anak Allah yang dikasihi-Nya.
  3. Yesus adalah Waris.
  4. Yesus adalah Dia yang mengampuni orang berdosa.
  5. Yesus adalah Tuhan atas hari Sabat.
  6. Yesus adalah Tuhan kepada Daud.
  7. Yesus adalah Tuhan ke atas para malaikat, para iblis, dan umat-Nya.
  8. Yesus adalah Anak Manusia yang mana datang dengan diliputi awan untuk memerintah selama-lamanya.
Berdasarkan semua ini, kini kita boleh menafsir ayat tersebut (Markus 10:18) untuk melihat apakah maksud Yesus kepada lelaki kaya tersebut. Jika kita menelitikan semula ayat tersebut, Yesus tidak berkata, "Aku tidak baik, hanya Tuhan yang baik", tetapi memberikan soalan agar lelaki tersebut memikirkan dengan lebih mendalam kesan kata-katanya. Kesannya adalah, jika Yesus itu baik, dan hanya Tuhan yang baik, maka Yesus adalah Tuhan. Sekali lagi, perhatikan logik perkara ini:
  1. Hanya Tuhan yang baik (sepenuhnya).
  2. Yesus adalah baik (sepenuhnya).
  3. Maka, Yesus adalah Tuhan.
Jika lelaki tersebut benar-benar percaya hal ini, maka dia perlu bersedia meninggalkan segalanya untuk mengikut Kristus. Hal ini adalah perkara yang dituntut oleh Yesus:
"Dengan penuh kasih Yesus memandang orang itu lalu berkata, "Tinggal satu perkara sahaja yang perlu kamu lakukan. Pergilah jual segala yang kamu miliki; berikan wangnya kepada orang miskin, maka kamu akan beroleh harta di syurga. Kemudian marilah, ikutlah Aku."" (Markus 10:21, TMV)
Yesus menuntut suatu penyerahan yang mana hanya diberikan kepada Tuhan. Hal ini jelas apabila Yesus menuntut hal sedemikian selepas Dia mengatakan untuk mentaati enam hukum terakhir di dalam Sepuluh Hukum (Kel 20:1-17). Enam hukum terakhir tersebut adalah mengenai perhubungan seseorang dengan orang yang lain. Empat hukum pertama pula adalah tentang penyerahan seseorang kepada Tuhan. Masalah lelaki tersebut adalah dia mencintai wang lebih daripada Tuhan, maka hartanya menjadi berhala. Dia perlu sanggup untuk meninggalkan berhalanya itu (iaitu hartanya) untuk benar-benar menyerahkan sepenuh dirinya menyembah Tuhan. Namun, Yesus langsung tidak meminta lelaki tersebut untuk mentaati empat hukum pertama tersebut, atau untuk mengikut Tuhan sepenuhnya, tetapi menyuruh lelaki tersebut untuk mengikuti diri-Nya.

Sebabnya adalah kerana mengikut Yesus bererti memenuhi sepenuhnya kewajipan seseorang kepada Tuhan. Oleh itu, Yesus secara tersirat mengakui bahawa Dia adalah Tuhan kerana secara dasarnya, Dia mengatakan mengikut Dia adalah sama seperti mengikut Tuhan, mentaati diri-Nya adalah sama seperti mentaati Tuhan, mengasihi-Nya adalah mengasihi Tuhan. Maka, Yesus adalah Tuhan!

Dalam kata lain, Markus mahu pembacanya tahu bahawa Yesus adalah penampakan secara tubuh manusia kepada Allah Yahweh Yang Mahakuasa. Seorang penulis evangelical mengatakan hal ini seperti berikut:
"...Markus mahu pembacanya tahu bahawa Yesus adalah "Anak Allah" dalam erti kata 'satu-satunya'. Maka, apabila Tuhan menyatakan bahawa Yesus adalah Anak-Nya di dalam Markus 1:11 dan 9:7, Markus menggunakan perkataan Greek yang menyatakan keunikan status anak pada Yesus. Dalam setiap contoh, Markus menggunakan adjektif Greek agapetos ("satu-satunya yang dikasihi") yang dipanggil oleh ahli tatabahasa Greek sebagai "kata ganti nama diri kedua". Suatu adjektif pada posisi ini akan diberi penekanan khusus. Maka, di dalam kedua-dua ayat Markus 1:11 dan 9:7, Tuhan menyatakan Yesus adalah "anak-Nya--satu-satunya anak yang dikasihi." Imam besar yang ada semasa perbicaraan Yesus kelihatannya memahami maksud konotasi Yesus yang mengakui mempunyai hubungan unik sebagai anak di dalam perumpamaan penyewa yang jahat (12:6). Untuk mendapatkan kepastian, dia bertanya kepada Yesus soalan yang jelas menonjol berikut: "Apakah Engkau Mesias, Anak dari Yang Terpuji?" (14:61).
Keunikan hubungan Yesus dengan Tuhan sangat jelas di dalam penceritaan Markus. Apabila Yesus mengampuni dosa orang lumpuh di dalam 2:5, guru Taurat yang ada di situ tidak bersetuju di dalam hati mereka: "Siapa yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah sendiri?" Walaupun soalan tersebut bersifat retorik, para guru Taurat tersebut bermaksud menunjukkan kata-kata Yesus telah merampas hak Tuhan - ia mencetus pembaca Kristian untuk berfikir bahawa Yesus bertindak seperti mana Tuhan akan bertindak. Markus telah membawa kita untuk berfikir tentang Yesus sebagai Tuhan. Tanggapan ini disahkan di dalam 4:41, di mana, setelah (Yesus) menenangkan taufan, murid-murid-Nya bertanya, "Siapa gerangan orang ini, sehingga angin dan danaupun taat kepada-Nya?" Para murid tahu bahawa perbuatan menenangkan ribut taufan adalah perbuatan Yahweh (Mzm 65:7; 89:9; 107:28-30), dan soalan mereka mengandaikan hal yang tidak masuk akal - iaitu apabila mereka berada di hadapan Yesus, mereka berada di hadapan Tuhan sendiri.
Kesan yang sama juga timbul daripada soalan Yesus kepada lelaki kaya tersebut. Yesus bertanya, "Mengapa kaukatakan Aku baik? Tak seorangpun yang baik selain dari pada Allah saja" (10:18). Apabila sampai ke cerita ini, kita sudah tahu bahawa Yesus itu baik; seperti yang dikatakan oleh penduduk Dekapolis, "Sungguh baik perbuatannya!" (7:37). Namun, jika Yesus itu baik dan tidak ada yang baik selain Tuhan, maka ia menunjukkan Yesus adalah Tuhan. (Frank Thielman, Theology of the New Testament: A Canonical and Synthetic Approach, [Zondervan, Grand Rapids, MI 2005], Chapter 3. Mark: The Death of God's Son As Good News, pp. 63-64)
Bagaimana lagi harus kita mengungkapkannya!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Tetapi tentang hari atau saat itu tidak seorangpun yang tahu, malaikat-malaikat di sorga tidak, dan Anak pun tidak, hanya Bapa saja." (Mark 13:32)

Ayat alkitab tidak menyata tentang Yesus tidak memberitahu soal hari kiamat, tapi jelas menyatakan dia tidak tahu . Maka persoalan timbul , apakah tiga tuhan sama darjatya? atau Sang bapa sahaja yang teragung memandang kan pengetahuan sang bapa melangkaui Yesus?

Jawab Yesus: "Mengapa kaukatakan Aku baik? Tak seorangpun yang baik selain dari pada Allah (Sang bapa?) saja. (Mark 10:18)
Tiwas Tiwasok berkata…
Hai Tanpa Nama (6 Jun 2013 10:01 PG),
Terima kasih kerana meluangkan masa memberikan komen di blog ini.

Tentang Markus 13:32, saya berikan post berikut untuk anda, Siapakah Kristus?. Post tersebut memperkatakan tentang sifat Yesus ketika Dia datang ke dalam dunia ini, iaitu sepenuhnya manusia, sepenuhnya Tuhan, juga dikenali sebagai Kesatuan Hipostatik.

Saya berharap agar anda membaca dan menilainya.
Tanpa Nama berkata…
apa komen tiwas tugas tentang syaitan yg menyesatkan,apa yg saya fahami
syaitan sendiri tidak mengaku sebagai Tuhan, hanya apa yg dia berazam utk membawa seramai yg boleh anak cicit adam bersamanya ke neraka kerna ini perjanjiannya dgn Allah,so mana mungkin seorang manusia mengaku dirinya Tuhan sahihkah dakwaannya itu,aku bersaksi bahawa sanya manusia tetap manusia punya satu roh tiada keduanya tiwaspun hanya satu malaikat gibrailpun ada satu
..sayapun ada satu logiknya tuhan mesti hanya satu yang mencipta mnusia dgn kekuasaanya, bilangan manusia berbillion ramai tapi setiap satu hanya satu roh tiada duanya
dgn ada tujuan diciptakan utk taat padanya dalam ujian didunia,kenerakakah bersama iblis atau kesyurga bertemu tuhan selepas qiamat nanti...adakah anda yakin tuhan itu 3 dalam satu...brapa pratuskah keyakinan tiwas....n muktammadkah tiadakah perubahan dsaat akhir...aku dah nampak dah...sila ulas tq aku nak tahu je pencerahanmu
Tiwas Tiwasok berkata…
Hai tanpa nama (25 Jun 2013 4:32 PTG),

Syaitan memang mahu menyesatkan manusia. Tindakan pertamanya dalam hal ini adalah apabila dia dengan licik menggoda Hawa untuk memakan buah larangan di Taman Eden. Adam juga kemudian memakan buah tersebut, dan tindakan mereka (Adam dan Hawa) mengakibatkan dosa masuk ke dalam dunia ini.

Menurut pengajaran Kristian:
Syaitan mahu menjadi seperti Allah. Dia mahu disembah seperti Allah, menjadi raja seperti Allah. Syaitan mahu menyamai Yang Maha Tinggi. (Yesaya 14:12-14)

Namun, Allah menghukum syaitan dengan menyediakan neraka sebagai tempat hukuman untuknya. (Mat 25:41)

Dan, Allah tidak mengadakan perjanjian dengan syaitan untuk menyesatkan seramai yang boleh anak cicit Adam bersama-samanya ke dalam neraka. Itu mungkin fahaman kepercayaan anda. Yang pasti itu bukan kepercayaan Kristian.

Anda berkata:
"mana mungkin seorang manusia mengaku dirinya Tuhan sahihkah dakwaannya itu"

- Benar, seorang manusia biasa tidak akan dapat meng-sahih-kan dakwaannya.
- Namun, Yesus berjaya meng-sahih-kan dakwaan-Nya. Bagaimana? Dia membuktikannya melalui kematian dan kebangkitan-Nya.
- Maka, Yesus bukan sekadar manusia biasa, Dia adalah Tuhan yang datang ke bumi ini dengan dilahirkan sebagai manusia sepenuhnya, dan pada masa yang sama memiliki keilahian Tuhan sepenuhnya.

Anda berkata:
"aku bersaksi bahawa sanya manusia tetap manusia punya satu roh tiada keduanya tiwaspun hanya satu
malaikat gibrailpun ada satu..
sayapun ada satu
logiknya tuhan mesti hanya satu yang mencipta mnusia dgn kekuasaanya,
"

- Ya, saya bersetuju dengan "manusia punya satu roh tiada keduanya".
- Kristian juga percaya Tuhan itu satu.
- Maka, saya tidak pasti mengapa anda menimbulkan hal ini seolah-olah ia bukan kepercayaan Kristian.

Namun, saya melihat anda salah faham terhadap kepercayaan Kristian apabila mengatakan:
"adakah anda yakin tuhan itu 3 dalam satu"
- Saya cadangkan agar anda menyelidiki terlebih dahulu tentang Triniti dan kepercayaan sebenar Kristian tentang hal ini.
- Kerana kenyataan anda seolah-olah mengandaikan Kristian percaya terdapat 3 Tuhan di dalam satu Tuhan, yang mana bukanlah kepercayaan Kristian yang sebenar tentang Triniti.
- Mungkin anda boleh membaca beberapa post di dalam blog ini yang memperkatakan tentang Triniti atau merujuk pautan2 link yang terdapat di blog ini.

Dan terima kasih kerana meluangkan masa memberikan komen. Tuhan memberkati.