Langkau ke kandungan utama

2.Kesalahan Hawa? - Menjawab "Wanita Dalam Islam dan Wanita Dalam Tradisi Judaeo-Kristian: Mitos dan Kenyataan"

Bahagian ini adalah respon kepada tulisan blog ini. Artikel asal boleh dibaca di sini.
Perhatian! Mungkin ada di antara anda yang tidak senang dengan respon ini. Jika anda merasakan anda tidak sanggup menghadapi perkara negatif tentang kepercayaan anda, serta tidak terbuka kepada pandangan yang berbeza dengan fahaman anda, jangan teruskan.

Kesalahan Hawa
Argumen SM
Berbeza dengan Alkitab, Al Quran:
  • meletakkan kesalahan yang sama rata kepada Adam dan Hawa
  • mengatakan Hawa tidak menggoda Adam
  • percaya Hawa tidak dipersalahkan sebagai punca kesakitan semasa bersalin
Pengampunan di dalam Al Quran:
  • Tuhan tidak menghukum seseorang disebabkan kesalahan orang lain (surah 6:164; 53:38).
  • Tuhan mengampunkan kesalahan Adam dan Hawa.
Respon kami
Menurut kitab Kejadian, Adam dan Hawa berada bersama-sama semasa jatuh ke dalam dosa, kedua-duanya telah berdosa, dan kedua-duanya dihukum. (Kebetulan pula, satu-satunya pihak yang dicatatkan sebagai telah 'menggoda' orang lain adalah si ular; sebenarnya kita tidak mempunyai sebab untuk percaya bahawa Hawa telah cuba memujuk Adam dengan apa juga cara).

Di dalam keseluruhan Kitab Suci selepas itu, 'kesalahan' tersebut diberikan kepada kedua-dua pihak. Roma 5:12-21 memfokuskan kepada kesalahan Adam, sementara 1 Timotius 2:13-14 memfokuskan kepada kesalahan Hawa, kedua-dua ayat ini ditulis oleh Paulus. Adam dan Hawa dilihat dengan serius sebagai mahkluk moral, dan pilihan mereka mempunyai akibat yang besar. Akibat utama daripada pilihan mereka (kerana mereka adalah manusia) adalah maut.

Namun, Tuhan yang Maha Pemurah, tidak cepat murka dan penuh kasih, tidak melaksanakan hukuman itu serta merta, tetapi memberikan mereka karunia cahaya mata, supaya semua kehidupan manusia akan dapat ditebus suatu hari nanti. Namun, kutuk tersebut bermula serta merta, di mana Adam dan Hawa menjalani baki hidup mereka dengan dibayangi oleh kematian. Adam akan bersusah payah dan menghadapi kesakitan untuk mencari makanan bagi meneruskan kehidupan, sementara Hawa akan bersusah payah dan menghadapi kesakitan untuk meneruskan keturunan. Sudah tentu semua orang akan bersetuju bahawa kesakitan semasa bersalin adalah sesuatu yang tidak baik, bukan? Tetapi, memandangkan maut masuk ke dalam dunia melalui pilihan Adam dan pilihan Hawa, maut ini berada di atas kehidupan dari awal hingga akhir. Jauh dari menjadi kambing hitam, Hawa sebenarnya diangkat sebagai contoh kepada pengharapan, kerana daripada keturunannya akan bangkit 'benih' yang akan mengalahkan dosa dan maut (Kej 3:15), dan dia akan menjadi ibu kepada segenap umat manusia (Kej 3:20). Sama seperti Mesias yang dijanjikan akan datang melalui wanita, dan keturunan Yesus yang tanpa kutuk adalah melalui seorang wanita, Maria (Lukas 3).

Berkenaan dengan penceritaan Al Quran, kita terpaksa bertanya mengapakah Adam dan Hawa dihalau keluar dari syurga jika Tuhan benar-benar telah mengampuni mereka (surah 2:37-38)? Jika demikian, apakah maksud pengampunan Tuhan? Ia juga menimbulkan persoalan tentang sifat Tuhan. Bagaimana Dia boleh menjadi benar-benar adil dan kudus jika Dia tidak membenci dosa? Dan bagaimana Dia dapat menganggap dengan serius bahawa manusia adalah mahluk moral jika Dia boleh tidak mengendahkan sifat manusia yang cenderung untuk melakukan dosa?

Selain itu, pandangan bahawa Tuhan tidak menghukum sesiapa atas kesalahan yang dilakukan oleh orang lain bercanggah dengan surah 4:157, di mana seorang dijadikan serupa dengan Yesus, dan mati di kayu salib menggantikan Yesus, seolah-olah membayar 'dosa' bagi pihak lain. Satu lagi contoh yang menonjol tentang dosa bersama adalah surah 2 ini sendiri. Memandangkan tiada di antara kita yang berada di taman itu hari ini, kerana semua telah dihalau dari taman tersebut, oleh kerana dosa mereka (peristiwa ini lebih dramatik di dalam penceritaan Al Quran, kerana taman itu dikatakan berada di atas langit), yang mana kita tidak dapat menikmatinya, kita semua telah dihukum bersama-sama oleh kerana dosa Adam dan Hawa, yang menunjukkan secara tersirat tentang dosa warisan.

Doktrin tentang dosa warisan tidak akan dapat difahami oleh Muslim selagi mereka tidak menjelaskan beberapa aspek lain tentang sifat-sifat Tuhan. Tetapi adalah mencukupi untuk mengatakan bahawa sama ada  anda percaya manusia dilahirkan bersama sifat dosa atau tidak, hakikatnya semua manusia memang berdosa, maka keperluan untuk suatu penyelesaian kepada dosa, dan pengampunan, adalah sesuatu yang bersifat universal.


seterusnya...
atau

Ulasan