Langkau ke kandungan utama

Siapakah Kristus?

Artikel ini diterjemahkan dari buku Christian Beliefs, m/s 67-70.


- terjemahan ayat Alkitab yang digunakan adalah Berita Baik.


Melalui peribadi Yesus Tuhan telah datang ke dunia kita secara fizikal. Tuhan yang kekal datang untuk tinggal di dunia yang sementara. Dia, yang mengetahui situasi yang sepatutnya wujud datang ke tempat situasi yang adalah sebaliknya. Di dalam Yesus, Tuhan dan manusia menjadi satu peribadi, peribadi yang tidak sama seperti peribadi-peribadi lain di dunia dan tidak akan ada yang seperti itu. Yesus Kristus adalah, dan selama-lamanya demikian, Tuhan sepenuhnya dan manusia sepenuhnya di dalam satu peribadi. Dan peribadi tersebut telah mengubah haluan sejarah selama-lamanya. 


Yesus – Manusia Sepenuhnya


Yesus ketika itu adalah manusia sepenuhnya. Dia dikandungkan di dalam rahim ibuNya melalui perkerjaan ajaib Roh Kudus. Hal ini dijelaskan di dalam Matius 1:18, “Inilah kisah kelahiran Yesus Kristus. Ibu-Nya, Maria, bertunang dengan Yusuf. Tetapi sebelum mereka berkahwin, Maria sudah mengandung kerana kuasa Roh Allah.” Walaupun banyak perkara boleh dikatakan tentang peristiwa ini, satu hal yang jelas: Yesus dilahirkan oleh seorang ibu manusia. KelahiranNya melalui kelahiran normal manusia menegaskan kemanusiaanNya.

Sama seperti kita mempunyai tubuh manusia, Yesus ketika itu juga sama. Sebagai seorang kanak-kanak, Dia “bertambah besar dan kuat” (Luk 2:40), dan semakin Dia dewasa, Dia “bertambah besar dan bijaksana, dan Dia menyenangkan hati Allah mahupun manusia” (Luk 2:52). Dia menjadi “penat” setelah menempuh suatu perjalanan (Yoh 4:6); setelah berpuasa, “Yesus lapar” (Mat 4:2); dan sementara berada di atas kayu salib, Dia berkata, “Aku dahaga” (Yoh 19:28). TubuhNya ketika itu, dalam setiap aspek, sama seperti tubuh kita.

Yesus bangkit dari kematian secara fizikal, tubuh manusia yang tidak lagi di bawah kuasa kelemahan, penyakit, atau maut. Seperti yang dikatakanNya kepada murid-muridNya, yang merasa takjub dengan Kristus yang telah bangkit, “Lihatlah tangan-Ku dan kaki-Ku. Inilah Aku! Jamahlah Aku, maka kamu akan tahu bahawa Aku bukan hantu kerana hantu tidak mempunyai daging atau tulang, sedangkan Aku mempunyainya” (Luk 24:39). Yesus kekal bersemayam di dalam tubuh manusia tetapi sempurna ini di syurga.

Minda Yesus ketika itu juga sama seperti minda kita. Dia melalui proses pembelajaran sama seperti kanak-kanak lain. Contohnya, Lukas mencatatkan Dia “bertambah besar dan bijaksana” (Luk 2:52). Seperti kanak-kanak normal, Dia belajar perkara-perkara seperti bertutur, membaca, menulis, dan makan. Di dalam sifat manusiaNya Dia tidak tahu bila Dia akan datang semula ke bumi, “Meskipun demikian, tidak seorang pun mengetahui hari atau waktunya, baik malaikat-malaikat di syurga ataupun Anak; hanya Bapa yang tahu” (Mrk 13:32).

Selain itu, Yesus merasai semua emosi: Dia “hairan” terhadap iman ketua askar tersebut (Mat 8:10); Dia “menangisi” kematian sahabatNya Lazarus (Yoh 11:35); dan Dia berdoa kepada Tuhan “dengan seruan dan tangisan” (Ibr 5:7). Sebelum penyalibanNya, Dia berkata, “Hati-Ku sedih sekali sehingga Aku hendak mati rasanya” (Mat 26:38) dan “Hati-Ku gelisah” (Yoh 12:27).

Yesus sama seperti kita dalam semua aspek kecuali satu hal: Dia tidak berdosa. Inilah sebabnya pada hujung kehidupanNya Dia dapat berkata, “Bapa tetap mengasihi Aku kerana Aku mentaati perintah-Nya” (Yoh 15:10). Itulah sebabnya Paulus mengatakan Yesus sebagai “Kristus tidak berdosa” (2 Kor 5:21). Petrus memberitahu kita bahawa Yesus “Dia tidak pernah berdosa dan sesiapa pun tidak pernah mendengar Dia berdusta” (1 Ptr 2:22). Yohanes memberitahu kita bahawa “pada diri-Nya tidak ada dosa” (1 Yoh 3:5). Jelas di sini, Yesus adalah “yang pernah dicubai dalam segala hal seperti kita sendiri, tetapi Dia tidak berbuat dosa” (Ibr 4:15).

Yesus ketika itu perlu menjadi manusia sepenuhnya supaya dapat menjadi wakil dengan ketaatan sempurna untuk kita. KetaatanNya dalam mewakili kita adalah sangat berbeza dengan ketidak-taatan Adam yang mewakili kita. Paulus mengatakan bahawa “Sebagaimana semua orang menjadi orang berdosa kerana satu orang tidak taat, demikian juga orang dapat berbaik semula dengan Allah, kerana satu orang taat kepada Allah” (Rm 5:19). Jika Yesus bukan manusia sepenuhnya, ketaatanNya bagi pihak kita akan menjadi sia-sia.

Sama seperti Yesus perlu menjadi manusia untuk hidup bagi pihak kita, Dia juga mesti menjadi manusia untuk mati bagi pihak kita. Hal ini perlu kerana kemanusiaan kita. Seperti yang dinyatakan di dalam Ibrani 2:17, “Hal ini bererti Dia harus menjadi seperti saudara-saudara-Nya dalam segala hal. Dengan demikian Dia dapat menjadi Imam Agung yang setia dan berbelas kasihan. Dengan pelayanan-Nya itu dosa manusia dapat diampunkan.” Jika Yesus ketika itu bukan manusia sepenuhnya, kematianNya untuk menggantikan kita akan menjadi sia-sia.

Sebagai tambahan, kemanusiaan Yesus (termasuk keTuhananNya) membolehkanNya menjadi “yang dapat memimpin manusia kepada Allah” (1 Tim 2:5). Itu bererti sebagai manusia, Dia ketika itu “pernah dicubai dalam segala hal seperti kita sendiri” dan maka membolehkanNya “dapat turut merasakan kelemahan-kelemahan kita” (Ibr 4:15). “Oleh itu, sekarang Dia dapat menolong mereka yang kena cubaan, kerana Dia sendiri pernah dicubai dan menderita” (Ibr 2:18).

Yesus – Tuhan Sepenuhnya

Seperti yang kita katakan sebelum ini, Yesus dikandung di dalam rahim ibuNya melalui pekerjaan ajaib Roh Kudus. Sekali lagi, ia dijelaskan di dalam Matius 1:18. Kelahiran Yesus melalui perawan adalah pekerjaan luar biasa dari Tuhan. Melalui pekerjaan Roh Kudus di dalam ibu Yesus, Maria, kemanusiaan dan keTuhanan disatukan melalui cara yang tidak akan terjadi lagi kepada mana-mana peribadi.

Seperti yang telah kita bincangkan tentang keTuhanan penuh Triniti, Alkitab dengan jelas mengatakan Yesus adalah Tuhan sepenuhnya. Contohnya, Paulus menulis tentang Yesus di Kolose 2:9, “Seluruh keperibadian Allah juga terdapat dalam diri Kristus, pada waktu Dia hidup di bumi sebagai manusia.” Sebagai tambahan, apabila mereka yang hidup bersama dengan Yesus memanggilNya “Lord” [κυριος = kurios], mereka menggunakan istilah yang telah digunakan lebih 6 ribu kali di dalam Perjanjian Lama terjemahan Bahasa Greek untuk merujuk kepada Tuhan atau “the Lord”. Maka, apabila para malaikat mengumumkan kelahiran Yesus dengan berkata, “Pada hari ini di kota Daud telah lahir Penyelamat kamu, Kristus, Tuhan” (Luk 2:11), mereka sebenarnya mengatakan Tuhan sendiri telah dilahirkan.

Apabila ditanya sama ada Dia pernah melihat Abraham, Yesus menjawab dengan mengatakan “Sebelum Abraham dilahirkan, Aku sudah ada” (Yoh 8:57-58). Mereka yang mendengarNya berkata demikian “memungut batu untuk merejam Yesus” (Yoh 8:59), yang mana akan dilakukan oleh mana-mana pemimpin agama yang dihormati jika seseorang mengaku sebagai Tuhan. Mereka mengerti bahawa Yesus mengambil gelaran Tuhan untuk diriNya sendiri di dalam Keluaran 3:14 “Aku adalah AKU”.

Di dalam Wahyu 22:13, Yesus berkata, “Akulah yang pertama dan yang terakhir, yang awal dan yang penghujung.” Ia sama seperti yang dikatakan oleh Allah Bapa di awal kitab yang sama ini: “Aku adalah Alfa dan Omega, firman Tuhan Allah, yang ada dan yang sudah ada dan yang akan datang, Yang Mahakuasa." (Why 1:8).

Nabi Yesaya mengesahkan Yesus sebagai Raja yang akan memerintah selama-lamanya – peranan yang hanya dapat dipenuhi oleh Tuhan: “Kekuasaan-Nya akan terus bertambah; pemerintahan-Nya akan sentiasa aman” (Yes 9:7). Itulah sebabnya Paulus mengatakan Yesus layak disembah: “Itulah sebabnya Allah meninggikan Dia setinggi-tingginya, dan mengurniai Dia kedudukan yang lebih tinggi daripada semua kedudukan yang lain. Oleh itu, untuk menghormati Yesus, semua makhluk di syurga, dan di bumi, dan di bawah bumi akan sujud menyembah Dia. Mereka semua akan mengaku bahawa Yesus Kristus ialah Tuhan; dengan demikian Allah Bapa dimuliakan.” (Flp 2:9-11). KeTuhanan Yesus adalah sebab Allah Bapa berkata, “Semua malaikat Allah wajib menyembah Anak itu” (Ibr 1:6).

Yesus ketika itu adalah Tuhan sepenuhnya. “Allah sendiri yang menentukan bahawa keperibadian Allah juga terdapat dengan sepenuhnya dalam diri Anak” (Kol 1:19). Jika Yesus bukan Tuhan sepenuhnya, Dia tidak akan dapat memikul sepenuhnya hukuman akibat dosa seluruh dunia. Dan jika Dia tidak memikul sepenuhnya hukuman akibat dosa seluruh dunia sebagai seorang manusia yang tidak berdosa, tidak akan ada bayaran yang sah untuk dosa sesiapa pun, dan tiada yang akan dapat diselamatkan.

Yesus – Tuhan Sepenuhnya dan Manusia Sepenuhnya

Yesus ketika itu adalah Tuhan sepenuhnya. Yesus ketika itu juga manusia sepenuhnya. Dia memiliki kedua-dua sifat tersebut sepenuhnya pada masa yang sama. Anak Allah yang kekal mengambil rupa bentuk manusia sepenuhnya. Sifat keilahian dan kemanusiaanNya selama-lamanya berbeza dan mengekalkan sifat masing-masing walaupun kedua-dua sifat ini bersatu dan tidak dapat dipisahkan selama-lamanya di dalam satu peribadi. Hal ini mungkin adalah mukjizat paling menakjubkan di dalam keseluruhan Alkitab – Anak Allah yang kekal, Dia adalah Tuhan sepenuhnya, menjadi manusia sepenuhnya dan dengan demikian menghubungkan diriNya dengan sifat manusia selama-lamanya. Yesus, manusia yang tidak pernah ada di dunia ini dan tidak akan ada lagi, dengan menyatukan kekekalan dan kefanaan selama-lamanya, mengubah haluan sejarah selama-lamanya.

Ulasan