Langkau ke kandungan utama

Yesus vs Mithras

Artikel ini dipetik dan diterjemahkan dari buku The Case for the Real Jesus, muka surat 170-173.

    Saya mengeluarkan sebuah senarai tentang persamaan di antara Yesus dan Mithras. "Pertama, penulis popular mendakwa bahawa Mithras dilahirkan oleh seorang perawan." Saya bertanya, "Adakah ini benar dan diajarkan di dalam Mithraism?"
    Yamauchi kelihatan sedih mendengarnya, "Tidak, hal itu sangat tidak benar," tegasnya. "Dia dilahirkan dari seketul batu."
    "Batu?"
    "Ya, kelahiran dari batu ini sering digambarkan di dalam tinggalan Mithraic," jelasnya. "Mithras lahir dalam keadaan dewasa dan tidak berpakaian kecuali sebuah topi Phrygian, dan dia memegang obor serta sebilah pisau. Di dalam penceritaan lain, api keluar dari batu tersebut, atau dia memegang sebuah glob di tangannya."
    Saya tertawa kecil, "Jadi, melainkan kita menganggap batu tersebut sebagai perawan, persamaan ini dengan Yesus hilang."
    "Tepat sekali," jawabnya.
    "Dan itu bererti dia tidak dilahirkan di dalam gua, seperti yang didakwa sebagai persamaan kepada Kristianiti oleh beberapa orang penulis."
    "Namun, adalah benar bangunan tempat penyembahan Mithraic dihias untuk kelihatan seperti sebuah gua," kata Yamauchi. "Gary Lease telah memperkatakan hal ini di dalam penulisannya tentang Mithraism dan Kristianiti."



    Saya kemudian memeriksan tulisan Lease. Dia memberikan pemerhatian penting di mana tidak dinyatakan di dalam Perjanjian Baru yang menggambarkan Yesus dilahirkan di dalam sebuah gua. Idea ini pertama kali disebut di dalam surat Barnabas semasa permulaan abad ke-2.
    Justin Martyr mengatakan pada abad ke-2 bahawa gua Mithras adalah peniruan bersifat kejahatan terhadap tradisi bahawa Yesus dilahirkan di dalam sebuah gua. Namun, Lease menyatakan bahawa, seorang sarjana bernama Ernst Benz "telah menunjukkan dengan pasti bahawa tradisi Kristian tidak bersandar kepada Mithraism, tetapi dari tradisi lama tanah Palestin itu di mana terdapat tempat suci yang dibuat di dalam gua." Lease menyimpulkan, "Tidak diragui lagi bahawa tradisi Kristian tersebut bukan berasal dari penceritaan Mithraic." 44

    Kembali kepada senarai saya, saya berkata kepada Yamauchi: "Persamaan ketiga dengan Yesus ialah Mithras dikatakan lahir pada 25 Disember."
    "Sekali lagi, itu bukanlah persamaan," jawabnya.
    "Mengapa tidak?"
    "Kerana kita tidak tahu tarikh Yesus dilahirkan," katanya. "Tarikh terawal yang dirayakan oleh Kristian adalah pada 6 Januari -- malah, masih ada gereja-gereja di kawasan Timur yang masih merayakannya pada tarikh tersebut. Sudah pasti, 25 Disember sangat hampir dengan solstis musim sejuk. Ini adalah tarikh yang dipilih oleh maharaja Aurelian sebagai dedikasi kuilnya terhadap Sol Invictus, dewa yang digelar sebagai 'Matahari yang tidak dapat ditakluk'. Mithras berkait rapat dengan Sol Invictus; kadang-kadang mereka digambarkan sebagai berjabat tangan. Akhirnya Mithras dikaitkan dengan tarikh 25 Disember."
    "Bilakah tarikh ini menjadi Krismas untuk Kristian?"
    "Didapati ia bermula pada tahun 336, setahun sebelum kematian Constantine, maharaja Rom pertama yang memeluk Kristianiti. Kita mengetahui bahawa sebelum pertukaran agamanya, dia menyembah Sol Invictus. Kita juga tahu dengan pasti bahawa Constantine menjadikan hari Ahad, atau Hari Tuhan, sebagai cuti rasmi, walaupun Kristian sudah lama menjadikan hari tersebut sebagai peringatan kepada kebangkitan Yesus. Maka, adalah mungkin Constantine juga telah memilih 25 Disember sebagai hari lahir Kristus. Kita tahu bahawa maharaja yang beragama Kristian dan para pope mencadangkan bahawa hari tersebut dijadikan sebagai perayaan Kristianiti." 45

    "Bagaimana dengan persamaan keempat iaitu Mithras adalah seorang pengembara atau guru agung yang mempunyai 12 orang murid?"
    "Tidak -- dia adalah dewa, bukan seorang guru," jawab Yamauchi, nadanya sedikit kurang sabar.

    "Persamaan kelima adalah pengikut-pengikutnya dijanjikan dengan kehidupan kekal."
    "Ya, itu boleh disimpulkan, namun itu juga merupakan harapan di dalam kepercayaan-kepercayaan lain," katanya. "Maka ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan."

    "Bagaimana dengan dakwaan keenam, yang mengatakan Mithras mengorbankan dirinya untuk keamanan dunia?"
    Yamauchi mengeluh. "Itu adalah perbuatan memasukkan teologi Kristian walaupun hal itu tidak wujud. Dia tidak mengorbankan dirinya -- dia membunuh seekor lembu jantan."

    "Persamaan ketujuh -- dan yang paling penting -- adalah Mithras dikuburkan di dalam sebuah makam dan bangkit semula tiga hari kemudian," kata saya. "Adakah terdapat sebarang kebenaran untuk hal ini?"
    "Kita tidak tahu apa-apa tentang kematian Mithras," jawab Yamauchi dengan tegas. "Kita mempunyai banyak monumen, namun kita hampir tidak mempunyai sebarang bukti penulisan, kerana ia adalah kepercayaan rahsia. Namun saya tidak tahu kewujudan sebarang rujukan terhadap kematian atau kebangkitannya." Itu sudah pasti, Richard Gordon mengisytiharkan di dalam bukunya, Image and Value in the Greco-Roman World, bahawa "tidak ada kematian Mithras" -- maka, kebangkitan juga tidak mungkin ada. 46

    Saya meneruskan, walaupun saya merasakan dapat mengagak jawapan yang akan diberikannya. "Kelapan, Mithras dianggap sebagai Gembala yang Baik, Jalan, Kebenaran dan Hidup, Logos (Firman), Penebus, dan Penyelamat."
    "Tidak, sekali lagi itu adalah perbuatan memasukkan teologi Kristian ke dalamnya."

    "Kesembilan, terdapat perjamuan sakramen di dalam Mithraism yang mempunyai persamaan dengan Perjamuan Tuhan."
    "Perjamuan umum dapat ditemui di dalam hampir semua komuniti keagamaan," jawabnya. "Apa yang perlu diketahui adalah, apologis Kristian, Justin Martyr dan Tertullian telah menunjuk persamaan perjamuan ini dengan Perjamuan Tuhan, namun mereka menulis pada abad ke-2, lama setelah Perjamuan Tuhan dimulakan di dalam Kristianiti. Mereka mendakwa perjamuan Mithraic adalah peniruan bersifat iblis. Jelas bahawa, perjamuan Kristianiti ini didasarkan pada Paskah, bukan pada kepercayaan misteri."
    Yamauchi memberikan saya rujukan dari buku tulisan Clauss, The Roman Cult of Mithras. "Perjamuan bersifat duniawi ini adalah ritual perayaan terhadap kejayaannya [ke atas lembu jantan] yang mana dilakukan oleh Mithras bersama-sama dengan dewa matahari sebelum mereka sama-sama naik ke atas menggunakan kereta kuda matahari," katanya. 47 "Ritual perjamuan ini berkemungkinan hanyalah suatu perjamuan makan biasa. Perjamuan seperti ini memang telah menjadi komponen utama di dalam pertemuan keagamaan; makan dan minum bersama membentuk suatu komuniti yang menunjukkan mereka yang terlibat merupakan ahli di dalam suatu kumpulan yang sama." 48

    Yarnold dari Oxford mengatakan perbuatan Cummont menggunakan istilah Kristian untuk menggambarkan liturgi Mithraic -- terutamanya merujuk perjamuan Mithraic sebagai suatu perjamuan kudus -- "kini dilihat sebagai mengelirukan, malah berniat tidak baik." 49
    Lease bersetuju bahawa tidak wujud sebarang kaitan di antara acara-acara Kristian dan Mithraic. "Teori bahawa asal-usul perjamuan Kristian ditemui pada Mithraism tidak wujud di dalam mana-mana sumber yang ada pada kita, serta kita juga tidak dapat mengatakan perjamuan Mithraic sebagai berasal dari Kristian." 50
    Dia menyatakan bahawa sakramen Kristian "berdasarkan tradisi Yahudi tentang perjamuan Paskah dan khususnya perbuatan terakhir Yesus di dalam sejarah," sementara perjamuan Mithraic "berasal dari upacara Mazdean [iaitu, Parsi]." 51 Dia menyimpulkan: "Tidak wujud keperluan untuk mengaitkan kedua-dua peristiwa ini dari segi asal-usul atau pengaruh secara terus." 52
    Saya meletakkan senarai yang kini telah ditidakkan di atas meja. Luar biasa, walaupun ramai penulis yang cuba menidakkan Kristianiti dengan tuduhan meniru, tuduhan ini hilang apabila diselidiki dengan lebih teliti.

Nota
44 - Gary Lease, "Mithraism and Christianity: Borrowings and Transformation," in Wolfgang Haase, ed., Aufstieg und Niedergang der Romischen Welt, vol.II (Berlin/New York: Walter de Gruyter, 1980), 1321-22.
45 - lihat Yamauchi, Persia and the Bible, 520-21.
46 - Richard Gordon, Image and Value in the Greco-Roman World (Aldershot: Variourum, 1996), 96, dipetik di dalam tulisan Holding, "Did the Mithraic Mysteries Influence Christianity?"
47 - Clauss, Roman Cult of Mithras, 110.
48 - Ibid., 113.
49 - Yarnold, "Two Notes on Mithraic Liturgy."
50 - Lease, "Mithraism and Christianity," 1324.
51 - Ibid.
52 - Ibid., 1325.

Ulasan