Langkau ke kandungan utama

Apa itu Injil? (terjemahan)

Artikel ini diambil dari laman web Monergism. Tajuk asal adalah What is the Gospel? dan boleh dibaca di siniPenerangan di dalam tanda [..] dan berwarna perang adalah tambahan dari saya untuk menjelaskan istilah tertentu yang memerlukan penjelasan lanjut.

Apa itu Injil?

Injil bukanlah perubahan tingkah laku, menjadi peribadi yang lebih baik atau belajar untuk menjadi lebih bermoral. Ia bukan tentang mengikut gaya hidup Yesus sebagai tauladan kehidupan atau mengubah/menebus kehidupan duniawi. Ia bukan menjadikan hidup berkomuniti dengan orang lain sebagai kehidupan yang utama dan berkongsi secara murah hati dengan komuniti yang mempraktikan cara kehidupan Yesus di dalam budaya setempat.


Semua itu baik, namun ia tidak harus disalah anggap sebagai Injil. Adakah anda perasan ciri utama hal-hal di atas adalah tidak berkaitan langsung dengan apa yang Kristus telah lakukan untuk kita, tetapi apa yang kita lakukan untukNya. Injil yang sebenar, adalah, apa yang telah Kristus Sang Juruselamat telah lakukan untuk kita (di dalam kehidupan, kematian dan kebangkitanNya), bukan arahan atau nasihat tentang perkara yang perlu kita lakukan untuk Tuhan. Kejayaan Kristus, bukan kita, yang menjadi intipati Injil. Yang utama di dalam Injil yang dibawa oleh Kristus ialah Berita Baik, bukan arahan tentang tingkah laku kita. Injil bukan tentang apa yang kita lakukan, tetapi perbuatan kita yang menyusul dari kesyukuran kita terhadap apa yang telah Kristus lakukan untuk kita.

Secara ringkasnya, Injil adalah berita yang mengubah kehidupan iaitu Yesus Kristus, Anak Allah yang Kekal, menjadi manusia, hidup dengan kekudusan menurut Hukum, mati untuk orang berdosa dan bangkit semula untuk mendamaikan mereka dengan diriNya, dan memiliki kemenangan untuk selamanya ke atas setiap musuh yang menjadi penghalang di antara Tuhan dan manusia. Kini, oleh kerana penebusan ini, tiada yang memisahkan di antara mereka yang percaya dengan Pencipta mereka dan semua kebaikan yang dijanjikanNya melalui diriNya. Menurut D.A. Carson, Injil berpusat "pada Yesus Kristus dan apa yang telah dilakukan Tuhan melaluiNya. Perkara-perkara dasar Injil ialah status Yesus Kristus sebagai Anak Tuhan, kemanusiaanNya yang sejati, kematianNya untuk dosa kita, pengebumian, kebangkitan, penampakan selepas kebangkitan, dan kedatanganNya semula pada hari penghakiman kelak. Tiada siapa pun dibenarkan melainkan dengan pekerjaan kasih Yesus Kristus melalui kematian dan kebangkitanNya. Ia bukan sekadar pembacaan tentang kebenaran teologi dan peristiwa sejarah; lebih dari itu, ia menghubungkan kebenaran dan peristiwa ini dengan situasi setiap individu yang percaya."

Namun, untuk memahami sepenuhnya tentang Injil, adalah penting untuk memahami mengapa ia diperlukan.

Adalah baik jika kita melihat Injil melalui konteks sejarah manusia bermula dengan penciptaan segala sesuatu oleh Tuhan, pemberontakan manusia terhadap Sang Pencipta, kejatuhannya ke dalam kerosakkan dan penebusan Tuhan terhadap mereka yang telah hilang. Adam, manusia pertama, mempunyai semua kapasiti untuk melakukan setiap perbuatan baik yang dituntut oleh hukum; yanga mana manusia, setelah jatuh ke dalam dosa, tidak mampu melakukannya. Setelah jatuh ke dalam dosa, Tuhan mengutuk Adam dengan kematian (Kej 2:17; 3:19-22), dan RohNya diambil darinya (1 Kor 2:14), hukuman yang diwariskannya kepada semua keturunannya. Manusia mensia-siakan pelayanannya dan meletakkan dirinya di dalam hutang moral yang tidak mampu dibayarnya.  Kini, keadaan manusia yang tanpa kerohanian dan telah jatuh, yang mana tidak dapat dibaiki lagi, jika manusia mahu diperbaharui, pertolongan tersebut perlu datang dari luar. Penebusan itu datang dari Tuhan dan datang dalam bentuk Injil. Injil ini bukanlah ciptaan manusia atau pendapat yang sangat bernas, tetapi berita baik yang dinyatakan secara terus oleh Tuhan yang Mahakuasa tentang apa yang telah dilakukanNya melalui Yesus Kristus untuk menyelamatkan semua yang berseru kepadaNya.

Ya, ia adalah penyelamatan dari Tuhan, pembebasan penuh ... bukan nasihat, bukan program penambah-baikan moral, bukan falsafah kehidupan, kerana kita memerlukan kemurahan yang tidak terbatas, bukan bantuan. Mereka yang angkuh, atau mereka yang gagal melihat kelemahan moral mereka dalam cuba menyelamatkan diri sendiri, akan menolak Injil. Namun ini adalah BERITA BAIK kepada yang miskin dan patah hati, (mereka yang tanpa kerohanian dan telah hilang segala keyakinan terhadap usaha sendiri) ... Maka semua yang miskin, patah hati, tinggalkan keputus-asaan dan penyesalan anda kerana apa yang telah dilakukan Tuhan melalui AnakNya, Mesias iaitu Yesus Kristus untuk menyelamatkan umatNya dari dosa mereka.

Saya pernah mendengar bahawa terdapat dua kepercayaan di dunia ini: 1) pencapaian manusia, dan 2) kejayaan Tuhan. Mari kita perhatikan yang pertama; pencapaian manusia, yang merupakan kecenderungan semula jadi kita semua. Di dalam HukumNya, Tuhan memanggil kita untuk patuh dengan sempurna terhadap perintah KudusNya, namun, penilaian secara jujur terhadap diri kita akan memaksa kita mengakui bahawa kita semua tidak mampu melakukannya, dan menjadikan kita tanpa pengharapan. Namun di dalam Injil, Yesus dengan penuh belas kasihan tunduk kepada perintah-perintah itu untuk kita. Ketaatan Kristus terhadap semua tuntutan Hukum Tuhan ... dan kerelaanNya untuk menanggung semua hukuman akibat perlanggaran kita terhadap hukum ini adalah dasar kepada pembenaran orang berdosa seperti kita di hadapan Tuhan dan menyediakan keadilan sempurna yang dipertanggungjawabkan atau diperhitungkan ke atas mereka yang percaya kepadaNya.

Dengan kata lain, Injil bukanlah tentang apa kebaikan yang ada pada saya tetapi hanya berdasarkan kepada kebaikan dan Peribadi Yesus sahaja. Ia bukan apa yang telah kita lakukan untuk Yesus tetapi apa yang telah Yesus lakukan untuk kita (Rm 5:19, 2 Kor 5:21, Flp 2:8). Di mana Adam gagal, Yesus menang. Ia adalah janji Tuhan terhadap kita, bukan kemampuan kita untuk berpegang kepada janji kita terhadapNya. Pada perjanjian tanda pelangi dengan Nuh, Tuhan berfirman Dia akan "mengingati" untuk tidak lagi akan menurunkan bah ke atas dunia, sama seperti perjanjian melalui darah Kristus, Tuhan "mengingati" agar kita tidak menerima hukuman yang selayaknya diberikan kerana dosa kita. Tuhan yang tersembunyi telah dinyatakan melalui Peribadi dan pekerjaan Anak, yang mana, dengan menanggung murka melalui pengorbananNya, membebaskan tahanan, menyembuhkan yang buta, memecahkan belenggu dan menukar hati yang keras seperti batu menjadi lembut. Kita sebelum ini ditahan untuk melakukan kehendak Syaitan dan tidak dapat melepaskan diri dengan kekuatan sendiri, namun Kristus telah membebaskan kita. Kristus, melalui penyalibanNya, melakukan untuk kita apa yang tidak mampu kita lakukan sendiri. Dia menjalani kehidupan sempurna yang sepatutnya kita jalani dan mati dengan kematian yang sepatutnya kita alami, supaya kita dibebaskan agar kita dapat mengisytiharkan kemuliaanNya, memberitakan InjilNya dan menyebarkan keadilan dan kasih kepada orang miskin.

Dr. Tim Keller pernah berkata "...Injil ialah berita tentang apa yang telah Tuhan lakukan untuk anda, bukan arahan atau nasihat tentang apa yang anda perlu lakukan untuk Tuhan... Di dalam kepercayaan lain, Tuhan menyatakan cara untuk kita mendapatkan keselamatan. Di dalam Kristianiti, Tuhan mendapatkan keselamatan untuk kita. Injil membawa berita, bukan arahan." ...Injil adalah tentang peristiwa sejarah, maka ia mempunyai sifat yang diketahui umum. "Ia menyatakan iman Kristian sebagai berita yang penting untuk semua orang, juga seluruh dunia, bukan sekadar pemahaman atau pengertian penuh misteri." [Brownson, p.46] ...jika Yesus tidak dibangkitkan, Kristianiti tidak "berguna". Injil adalah tentang Yesus mati dan bangkit untuk kita. Jika peristiwa sejarah kehidupanNya tidak pernah berlaku, maka Kristianiti tidak "berguna" kerana Injil adalah tentang Tuhan yang masuk ke alam manusia "sekarang" (sejarah) dengan kehidupan dunia yang akan datang...Injil adalah berita tentang apa yang telah Tuhan lakukan untuk kita, bukan nasihat tentang apa yang perlu kita lakukan untuk berjumpa dengan Tuhan. Injil adalah berita tentang kehidupan, kematian, dan kebangkitan Yesus di dalam sejarah yang telah memberikan kita keselamatan....Yesus tidak hanya datang membawa berita baik; Dia adalah berita baik itu sendiri."

Tidak ada keselamatan di luar Tuhan Yesus Kristus. Oleh itu, percaya kepada Yesus dan bukan kesalehan diri anda sendiri. Tapi ada yang menolak pemberian percuma dari Tuhan ini kerana mereka mempercayai kebaikan diri mereka sendiri. Seperti yang pernah dikatakan oleh seorang Puritan bernama Thomas Watson:
[Ada yang berfikir] ...mereka sangat baik, sehingga mereka mencemuh tawaran kasih dari Tuhan. Sesungguhnya ini seringkali merupakan situasi paling buruk: mereka adalah yang merasakan tidak perlu pertaubatan (Luk 15:7). Moral mereka sendiri menidakkan mereka. Mereka menjadikannya sebagai "penyelamat", maka atas dasar ini mereka menderita kecelakaan. Moral tidak dapat mencapai Syurga. Ia hanya tapisan semula jadi. Manusia moral hanyalah seperti Adam yang lama berbajukan pakaian yang indah. Imej Raja yang dipalsukan dan dicopkan di atas tembaga tidak akan dapat bertahan dalam peredaran masa. Manusia bermoral kelihatan seperti memiliki imej Tuhan-namun dia hanyalah tembaga, yang tidak akan dapat bertahan di dalam aliran masa. Nilai moral tidak cukup untuk keselamatan. Walapun hidup dengan moral, keinginan daging tidak akan dapat dihilangkan. Hati mungkin penuh dengan keangkuhan dan ketidak-percayaan terhadap Tuhan. Di bawa daun pokok yang hijau, mungkin akan ada ulat. Saya tidak mengatakan bertaubat agar anda bermoral - tetapi kerana anda tidak lebih dari bermoral. Syaitan memasuki rumah yang baru sahaja disapu dan teratur (Luk 11:26). Ini adalah lambang kepada manusia moral, yang disapu dengan kesopanan dan diatur rapi dengan karunia umum-tapi tidak dibersihkan dengan pertaubatan yang sejati. Roh kekotoran memasuki ke dalam mereka yang seperti itu. Jika moral mencukupi untuk keselamatan, Kristus tidak perlu mati. Manusia moral memiliki pelita yang baik--namun tiada minyak kasih. 
Yesus adalah Tuhan dan Pencipta - satu-satunya Raja di atas semua ciptaan ... Raja untuk segala yang kelihatan dan tidak kelihatan. Kepada sesiapa yang menyembah berhala palsu di hati mereka (sebarang pengganti Tuhan) perhatikan ... Yesus akan datang tidak lama lagi bersama-sama bala tenteraNya dan akan mengalahkan musuh-musuhNya dan semua ketidak-adilan dengan nafas mulutNya. Namun Dia menawarkan pengampunan sebelum kedatanganNya untuk semua yang menerimaNya (Yoh 1:12,13). Mereka yang telah mengikut Dia sebelum kedatanganNya akan dianggap sebagai sekutuNya dan Dia akan membangkitkan mereka menjadi anak-anakNya dan waris bersama-sama dengan Kristus. Pilihan lain adalah untuk berada di bawah murka Sang Raja. Kami mengkhabarkan pengumuman ini: bahawa Raja Yang Sejati berada di atas takhta dan Dia akan datang. Injil bukan sekadar jemputan tetapi juga perintah terhadap semua yang mengambil jalan mereka sendiri. Adakah anda akan mendengar perintah ini? Yesus adalah Tuhan, bertaubat dan percayalah. (Bill Wilder) Namun, oleh kerana kita dibutakan oleh dosa, Yesus mengatakan, tidak ada seorangpun dapat percaya kepadaNya, kalau Bapa tidak mengaruniakannya kepadanya melalui pekerjaan Roh Kudus (Yoh 6:63-65). Oleh itu, dengan kasih karunia Tuhan, yang percaya kepada Yesus dan perbuatanNya boleh berasa yakin, dengan kesaksian yang pasti dari Kitab Suci, bahawa dosa-dosa mereka telah diampuni dan memiliki janji Tuhan: kehidupan kekal.

Sebagai kesimpulan:
Manusia dicipta untuk memuliakan Tuhan dan menikmati hadiratNya selamanya
"Ya Tuhan dan Allah kami, Engkau layak menerima puji-pujian dan hormat dan kuasa; sebab Engkau telah menciptakan segala sesuatu; dan oleh karena kehendak-Mu semuanya itu ada dan diciptakan." (Why 4:11) "lakukanlah semuanya itu untuk kemuliaan Allah." (1 Kor 10:31)

Manusia telah gagal memuliakan Tuhan dan berada di bawah hukumanNya yang adil
"Karena semua orang telah berbuat dosa.." (Rm 3:23) "Sebab upah dosa ialah maut" (Rm 6:23) "Mereka ini akan menjalani hukuman kebinasaan selama-lamanya" (2 Tes 1:9)

Yesus menanggung sepenuhnya murka tersebut dan menderita hukuman yang sepatutnya diberikan kepada orang berdosa
Tidak mahu orang berdosa binasa, Tuhan bertekad untuk menyelamatkan manusia bagi diriNya melalui Anak yang Kekal yang menjadi manusia dan menjalani kehidupan yang sepatutnya kita jalani dan mati untuk hukuman yang sepatutnya kita hadapi. Tuhan mengasihi orang berdosa sehingga Dia mengutus AnakNya sebagai korban penebusan dari dosa mereka (1 Yoh 4:10, Yoh 6:37) Dia "...memberikan nyawa-Nya menjadi tebusan bagi banyak orang" (Mrk 10:45) dan "bangkit semula" dari kematian (2 Kor 5:15) untuk mereka.

Semua orang, dengan kasih karunia Tuhan, percaya kepada Yesus dengan sepenuh iman telah diampunkan
Jika anda mengakui diri anda adalah orang berdosa yang memerlukan Kristus maka Tuhan telah memulai pekerjaanNya dengan memberikan kehidupan yang berubah, perhubungan kekal yang memuaskan dengan diriNya! "Bertobatlah dan percayalah kepada Injil" (Mrk 1:15) "di hadapan-Mu ada sukacita berlimpah-limpah" (Mzm 16:11). Oleh itu tinggalkan keberadaan diri dan dosa anda. Datang kepada Yesus Kristus, dan menerima kebaikanNya sebagai pelindung, dan darahNya sebagai penebusan anda. Jika anda percaya keselamatan anda hanya dengan Yesus (iaitu, anda tiada harapan keselamatan selain kasih Yesus sahaja), maka anda boleh dengan yakin mengetahui dosa anda telah diampuni dan Dia telah mengaruniakan anda kehidupan kekal.

Ulasan