Langkau ke kandungan utama

Penyembuh Iman atau Penyembuh Palsu?

Artikel ini diterjemah dari laman web Apologetics Resource Center. Tajuk asal artikel ini adalah Faith Healer or Fake Healer? dan boleh dibaca di sini. Penulis asal artikel ini ialah Rev. Keith Gibson.

Di antara selebriti-selebriti di dalam pergerakan Word Faith, tiada yang lebih terkenal daripada Benny Hinn. Dari gaya hidupnya yang mewah sehingga persembahannya di atas pentas, Benny Hinn telah menjadi stereotaip moden bagi para penyembuh iman, malah memberikan inspirasi kepada karakter yang dilakonkan oleh Steve Martin di dalam filem Leap of Faith. Hinn mendakwa beribu-ribu orang telah disembuhkan di dalam kempennya. Terdapat dakwaan bahawa orang mati dibangkitkan. Namun apabila diminta memberikan bukti dokumentasi, dengan menyedihkan, pelayanan ini tidak dapat memberikan apa-apa, walau sedikit bukti untuk dakwaan-dakwaan ini.

Walaupun telah bertahun-tahun didedahkan oleh sumber-sumber Kristian dan sekuler, pelayanannya kekal menarik beribu pengikut setia. Dianggarkan oleh pelbagai sumber bahawa pelayanannya mengaut keuntungan berjuta dollar setiap tahun, walaupun jumlah ini dipertikaikan dan sukar dipastikan kerana pelayanan ini tidak mahu mengeluarkan penyata kewangan mereka secara umum.

Tujuan artikel ini adalah untuk melihat penyembuhan iman dari sudut yang berbeza dengan memfokuskan pelayanan Benny Hinn dan menilai hasil pelayanannya. Sudah pasti, akan ada yang melihat artikel ini sebagai "anti-karismatik". Ia tidak benar sama sekali. Tiada niat untuk memperkecilkan mana-mana cabang Kristianiti. Namun, adalah penting untuk orang Kristian menguji mereka yang mengaku berbicara bagi pihak Tuhan dan mendakwa memiliki urapan khusus daripada Tuhan (cf. 1 Yoh 4:1; 1 Kor 14:29). Adalah diharapkan, dengan melihat pelayanan Hinn, kita akan mendapat kebijaksanaan apabila menilai penyembuh iman yang lain. Adalah pasti mereka bukanlah yang terakhir.


Apa itu Mukjizat?
Sebelum kita mula menilai dakwaan yang dibuat oleh Benny Hinn, kita terlebih dahulu perlu menentukan batas-batas dalam memastikan mukzijat yang sebenar. Sering kali di dalam artikel seperti ini, andaian dibuat bahawa terdapat suatu persetujuan umum tentang peristiwa yang dipanggil sebagai mukjizat. Namun, perkataan ini sendiri telah menjadi sangat umum pada zaman moden ini sehinggakan ia bermaksud sebagai nasib baik. Namun, mukjizat yang sebenar adalah lebih dari sekadar peristiwa luar biasa atau membawa keuntungan. Kamus Webster mendefinisikan mukjizat sebagai "peristiwa luar biasa yang disebabkan perbuatan ajaib dari Tuhan" [1]. Norman Geisler memberikan definisi yang sama tentang mukjizat, "tindakan khusus Tuhan di dalam dunia, campur tangan ajaib ke dalam alam semulajadi, campur tangan Ilahi yang khusus" [2]. Dia melanjutkan penjelasannya dengan, "Mukjizat bukan sekadar peritiwa luar biasa tetapi peritiwa yang tidak akan berlaku tanpa campur tangan Ilahi." [3]

Definisi tentang mukjizat ini penting dalam menilai penyembuh iman moden, termasuk Hinn. Adalah diakui ramai orang berpenyakit dan mengalami kesakitan meninggalkan kempennya dengan berasa lebih baik, namun ia tidak sama seperti mengatakan mereka telah disembuhkan melalui mukjizat. Terdapat pelbagai penjelasan lain untuk kesembuhan, yang mana akan kita lihat selepas ini.

Perbandingan dengan Kristus
Salah satu cara untuk menilai sama ada pelayanan seperti yang dilakukan oleh Hinn memiliki kuasa penyembuhan adalah dengan membandingkannya dengan mukjizat yang dilakukan oleh Kristus. Apabila hal ini dilakukan, perbezaan yang ketara mulai muncul. Pertama, Kristus menyembuhkan peribadi secara spesifik. Kita tidak pernah membaca sebarang ayat di mana Yesus berkata demikian,
Satu masalah otot telah disembuhkan. Kemuliaan hanya kepada Mu. Sebentar tadi angkat tangan anda dan berseru kepada namaNya yang mulia, Yesus, Yesus, Yesus. Resdung baru saja disembuhkan, kemuliaan hanya kepada Mu. Kecederaan leher baru sahaja disembuhkan, kemuliaan hanya kepada Mu. Di dalam hadirin ini Tuhan sedang menjamah orang saat ini di sini, Tuhan sedang menjamah ramai daripada anda saat ini di dalam studio ini, kemuliaan hanya kepada Mu Yesus. Di rumah anda, ramai daripada anda baru sahaja dibebaskan dari kesakitan, seseorang dengan sakit bahu baru sahaja disembuhkan, kemuliaan hanya untuk Mu Yesus. [4]
Namun ini adalah cara standard penyembuh-penyembuh seperti Hinn yang selalu berdiri di hadapan auditorium dan mengungkapkan pelbagai penyakit seolah-olah dia sedang terus-menerus menyembuhkan. Mereka yang menyangka mereka adalah antara yang menerima kesembuhan kemudian dijemput ke hadapan untuk memberi kesaksian.

Perlu diperhatikan juga bahawa semua ini diatur dengan teliti oleh rakan sekutu Hinn. Ramai yang dianggap sebagai berisiko tidak disembuhkan dengan baik akan dihalang dari berjumpa dengan Hinn. Dr. Stephen Winzenburg, seorang profesor di Kolej Grand View, Des Moines, Iowa, telah menjalankan kajian ke atas pelayanan para penginjil. Berkenaan dengan Hinn, Dr. Winzenburg mengatakan, "Dia seperti ketua sarkas apabila berada di dalam suatu arena. Ramai orang mungkin datang untuk disembuhkan, tetapi ia lebih kepada histeria yang terkawal." [5]

Satu lagi perbezaan ialah mukjizat Kristus adalah serta merta. Kristus tidak pernah menyuruh seorang pengikut untuk mengaku kesembuhan yang tidak terjadi atau pulang ke rumah dan mengaku disembuhkan dan kemudian menunggu ia terjadi. Namun, hal ini adalah biasa di dalam pergerakan Word Faith.

Mereka yang disembuhkan Yesus tidak jatuh sakit semula. Tapi bandingkan hal ini dengan kes Ernestine Rodriguez dari Santa Fe, NM, yang mana diisytiharkan sembuh dari kanser otak oleh Hinn semasa siaran 1992. Ujian dilakukan tiga minggu kemudian mendapati kanser tersebut masih ada. Penjelasan Hinn di dalam siaran seterusnya, "Saya tahu hal ini: Penyembuhan mesti diterima dan dijaga melalui iman. Terdapat kes-kes tertentu di mana mereka kehilangan kesembuhan mereka." [6] Contoh lain adalah Jordie Gibson, yang bertekad untuk menghentikan dialisis buah pinggang dan terbang ke kempen Hinn di Anaheim. Gibson masih seorang yang percaya dan percaya telah mengalami kuasa penyembuhan Tuhan, walaupun dia terpaksa kembali menjalani dialisis. [7] Namun, kita tidak pernah nampak Yesus mengarahkan mereka yang telah disembuhkannya untuk mengekalkan kesembuhan mereka dengan iman.

Penyembuhan dari Kristus sentiasa berjaya. Namun dengarkan kisah William Vandenkolk dari Las Vegas seperti yang diceritakannya kepada Los Angeles Times:
Duduk bersila di hadapan sebuah televisyen berskrin besar, kanak-kanak 11 tahun ini melihat melalui kaca mata berbentuk botol Coke sebuah video Kempen Mukjizat yang dirakam lebih dua tahun lalu, di mana dia dipaparkan sebagai seorang budak yang sembuh dari masalah pengelihatan secara mukjizat. "Pada mulanya saya menyukainya kerana saya menyangka akan disembuhkan," kata William di ruang tamu makcik dan pakciknya.  Di atas skrin, Hinn tunduk ke arah William, tangannya menyentuh muka kanak-kanak tersebut. "Lihat air mata ini." Kata Hinn, merenung mata kanak-kanak tersebut. "William, anakku, anda boleh melihat saya?" Di hadapan lebih 15,000 orang di dalam arena Las Vegas, William mengangguk. Dengan suara yang kecil, budak lelaki itu berkata, "Sebaik saja Tuhan menyembuhkan saya, saya akan dapat melihat lebih baik." Hinn, dengan satu tangannya memeluk William, memberitahu penonton bahawa Tuhan telah menyuruhnya membayar perbelanjaan perubatan dan pelajaran kanak-kanak tersebut. Ramai orang menangis. Hari ini, William masih lagi buta dan berkata pengelihatannya tidak pernah bertambah baik, dan kata-katanya di atas pentas hanyalah harapan kosong. Kebetulan, keluarga tersebut masih belum menerima sebarang perbelanjaan yang dijanjikan untuk perubatan atau pembelajaran. [8]
Rancangan HBO telah menjalankan dokumentari ke atas kempen Hinn di Portland, Oregon. Di atas pentas, Hinn dikatakan telah melakukan 76 mukjizat. Penerbit dokumentari tersebut meminta senarai nama yang telah disembuhkan. 13 minggu kemudian, hanya lima nama diterima. Setelah disiasat, tiada seorang pun dari lima individu tersebut menerima kesembuhan. Salah seorang adalah Ashmil Prakash, berumur 10 tahun, yang telah mendapat dua tumor otak. Walaupun diisytiharkan "sembuh" oleh Hinn dan kedua orang tua kanak-kanak tersebut yang miskin berjanji untuk memberikan beribu-ribu dollar kepada pelayanan Hinn, kanak-kanak tersebut meninggal dunia 7 minggu selepas kempen tersebut selesai. [9]

Yang terakhir, penyembuhan Yesus tidak bersifat psikosomatik. Yesus membangkitkan orang mati dan menyembuhkan mereka yang dilahirkan buta dan lumpuh. Walaupun dakwaan dibuat, tidak adak sebarang dokumentasi baik yang menunjukkan penyembuh hari ini telah melakukan mukjizat yang sama. Fakta yang menyedihkan ialah mereka tidak dapat menyembuhkan ahli keluarga mereka sendiri. Ibu Hinn menghidap diabetis dan ayahnya mati kerana kanser. [10] Kisah penyembuh iman yang lain juga serupa.

Apa yang sedang berlaku?
Jadi apa yang perlu kita lakukan terhadap pelbagai kesaksian kejadian mukjizat? Bagaimana dengan mereka yang setiap hari dipaparkan pada pelbagai rancangan televisyen di dalam TBN dan lain-lain stesen termasuk milik Hinn sendiri, This Is Your Day? Beberapa perkara perlu diperhatikan oleh Kristian yang tahu menilai.

1. Beberapa penyembuhan yang berlaku adalah bersifat psikosomatik. Mereka yang mempunyai masalah bersifat psikologi memberi respon yang positif terhadap kesan plasebo seperti penyembuh iman. Malah, seluruh suasana kempen penyembuhan ini disusun sehingga klimaks kemunculan Hinn dan sentuhan penyembuhannya. Yesus tidak pernah menetapkan suasana mood untuk membolehkannya melakukan tugasnya. Acara yang penuh emosi akan memberi impak yang besar kepada mereka yang mempunyai masalah yang lebih bersifat psikologikal berbanding fizikal.

2. Ramai yang tidak disembuhkan langsung. Membawa seseorang berdiri di atas pentas dan mengaku telah disembuhkan dari kanser atau penyakit lain tidak membuktikan kesembuhan telah berlaku. Penyembuhan seperti ini sepatutnya disahkan oleh doktor yang bertauliah menggunakan kaedah perubatan yang betul. Pengakuan-pengakuan kesembuhan ini mungkin akibat daripada:
Euforia sementara - ramai yang terperangkap di dalam suasana. Aliran ardenalin dan jangkaan, malah perasaan teruja kerana berada di hadapan seorang yang dianggap sebagai diurapi, cukup untuk memberikan kelegaan sementara. Hal ini terjadi terutamanya bagi mereka yang simptom utama mereka adalah kesakitan.
Pengakuan positif - Apa yang berlaku di dalam kempen-kempen ini tidak dapat dipisahkan dengan teologi yang mengajarkan penganutnya bahawa mereka memiliki apa yang mereka akui. Di dalam sistem kepercayaan ramai mereka ini, jika mengaku belum menerima penyembuhan bererti jaminan bahawa mereka tidak akan disembuhkan. Kebanyakan mereka hanya menyatakan kepercayaan bahawa mereka akan menerimanya pada suatu masa kelak.
Memuja Hero - Wujud keinginan besar daripada mereka yang terlibat untuk tidak memalukan penyembuh mereka. Mereka sangat percaya akan seseorang itu sehingga mereka akan bertindak seperti yang diarahkan, walaupun mereka tahu ia tidak benar. Pertimbangkan cerita seorang wanita yang dikatakan telah disembuhkan dari masalah pengelihatan oleh Oral Roberts. Apabila diarah oleh Roberts untuk naik ke atas pentas, "Beritahu kami apa yang sedang berlaku di dalam diri anda." Dia menjawap, "Ada- ada cahaya." Namun apabila ditemuramah pada hari berikutnya dia mengaku tiada apa-apa yang berlaku. Dia mengatakan, "Saya tidak mahu mengecewakannya." [11]
3. Ada yang palsu. James Randi, seorang ahli silap mata, di dalam bukunya, Faith Healer, telah mendokumentasikan pelbagai taktik yang digunakan untuk memperdaya mereka yang mudah tertipu. Ada yang hanya menggunakan penyamar di kalangan hadirin dan berpura-pura disembuhkan. W.V Grant akan menarik sedikit tumit kasut sebelah seolah-olah dia sedang memanjangkan kaki yang satu lagi. Peter Popoff menerima "Hikmat Pengetahuan" melalui sebuah radio kecil di dalam telinganya, yang mana isterinya menggunakan transmisi radio, memberi arahan kepadanya sambil membaca kad yang dikumpul oleh staf. Beberapa penyembuh iman menyewa kerusi roda sebagai alat peraga. Ada yang menggalakkan orang yang datang ke kempen tersebut untuk duduk di atas kerusi roda supaya mereka boleh dibawa ke hadapan untuk melihat lebih dekat. Orang yang sama ini kemudian ditarik dari kerusi roda mereka dan mengagumkan hadirin yang sedang melihat. [12] Senarai taktik yang ada sangat banyak.

4. Ada yang terjadi secara semula jadi. Faktanya adalah penyakit boleh sembuh secara semulajadi. Hal ini benar tanpa mengambil kira sama ada rawatan diberikan dan kadang kala tanpa sebarang rawatan. Maka, semua ini bukanlah mukjizat kesembuhan, tetapi hasil dari keajaiban penciptaan manusia oleh Tuhan yang penuh hikmat. Contohnya, 90% dari semua pesakit sakit pinggang akan beransur pulih selepas 6 minggu sama ada sakit itu disebabkan oleh seliuh biasa atau hernia, kemerosotan atau bengkak sendi. [13] Malah kanser juga diketahui boleh hilang begitu sahaja. Ia terjadi dikalangan orang percaya dan tidak percaya, mereka yang didoakan dan juga tidak, dan ketika ini tanpa menjelasan dari segi perubatan. [14]

Ramai orang yang mengaku bahawa kesembuhan mereka bermula dari kempen penyembuhan dan kemudian berlaku perlahan-lahan selepas itu. Namun hanya kerana seseorang semakin sembuh selepas bertemu dengan Benny Hinn tidak bererti dia semakin sembuh disebabkan oleh Benny Hinn. Secara logik, ia dipanggil sebagai Post Hoc Fallacy ("selepas ini; oleh itu, kerana ini"). Sebuah contoh akan menjelaskan masalah ini. Seorang yang botak perasan dia mulai keguguran rambutnya selepas dia memiliki anak. Dia mungkin menyimpulkan dia kehilangan rambutnya kerana anak-anaknya dan dengan jujur percaya kepada kesimpulan tersebut. Namun, adalah berkemungkinan juga, malah munasabah, lelaki ini kehilangan rambutnya kerana faktor genetik dan akan rambutnya akan gugur walaupun dia tidak mempunyai anak. Anak-anaknya hanyalah kebetulan semasa dia kehilangan rambutnya namun bukan penyebab sebenar. Dengan cara yang sama, ramai yang disembuhkan semasa kempen Hinn sebenarnya hanyalah sedang mengalami kesembuhan secara semula jadi tubuh mereka. Bertemu dengan Hinn hanyalah kebetulan dan bukan penyebab kesembuhan mereka yang sebenar. Mukjizat yang sebenar menuntut kriteria yang lebih kukuh lagi.

5. Walaupun kekurangan bukti, kemungkinan bahawa ada yang benar-benar disembuhkan masih perlu diambil kira. Seperti kata Justin Peters, seorang penginjil Southern Baptist dari Mississippi yang dipetik sebagai berkata di Los Angeles Times, "Walaupun saya tidak senang dengan Benny Hinn, kebanyakkan orang yang datang bertemu dengannya adalah Kristian yang benar-benar percaya...Apabila 25,000 orang berdoa kepada Tuhan untuk menyembuhkan mereka, adalah mengejutkan jika Tuhan tidak menyembuh beberapa orang daripada mereka."[15]

Kebimbangan
Jadi apa masalahnya? Harapan palsu adalah lebih baik daripada tiada harapan bukan? Mungkin Benny tidak dapat menyembuhkan tetapi siapa yang disakitinya? Mungkin kita tidak perlu peduli dengannya.

Namun ramai orang disakiti. Harapan palsu sebenarnya sangat dahsyat. Dengarkan kata-kata Brian Darby yang bekerja membantu mereka yang kurang upaya di Northern California, "Anda tidak dapat mengecilkan kesan akibat tidak disembuhkan ke atas seseorang, keluarga, ahli keluarga lain... Mereka merasa suatu euforia semasa kempen penyembuhan dan kemudian jatuh kecewa." [16] Kesan akibat tidak disembuhkan boleh menjadi sangat mengecewakan. Namun, penyembuh iman seperti Hinn boleh mengelakkan kritikan dengan menyalahkan mereka yang sakit sebagai tidak cukup beriman.

Bagaimana dengan mereka yang mungkin berhenti meneruskan rawatan perubatan kerana menyangka mereka telah disembuhkan tanpa pengesahan dari doktor? Episod This Is Your Day rancangan Hinn, pada 30 September 2003, seorang wanita dibawa ke atas platform bersama sebuah kit penguji kandungan gula di dalam darah. Ia dipanggil sebagai "pek" diabetisnya oleh Steve Brock. Selepas mengatakan Tuhan telah menyembuhkannya, wanita itu membuang pek tersebut ke atas lantai platform. (17) Jika dibiarkan tanpa rawatan, diabetis akan menyebabkan penghidapnya kompilasi yang melemahkan dan akhirnya maut. Kita sangat berharap agar wanita ini berjumpa dengan doktornya untuk mengesahkan kesembuhan tersebut. Penyembuhan penyakit seperti diabetis dan kanser tidak dapat dipastikan hanya di dalam kawasan kempen penyembuhan. Perhatian yang serius harus diberikan kepada kebajikan mereka yang mendakwa telah disembuhkan.

Juga terdapat kebimbangan tentang Nama Kristus dan nama baik gereja. Perbuatan Hinn dan mereka yang sama sepertinya tidak menyamai dengan Kristus seperti yang telah kita lihat sebelum ini. Adakah Yesus pernah menumbangkan seseorang di dalam Roh Kudus? Adakah Kristus akan melemparkan jubahnya untuk merebahkan orang lain? Atau menghembus nafas dengan kuat ke arah mereka? Walaupun berjanji akan mengurangkan sandiwaranya, Hinn dilihat di dalam rancangan yang disebut sebelum ini melambaikan tangannya ke arah kumpulan koir dan berseru, "Terimalah!" yang kemudian seluruh kumpulan koir tersebut rebah. Hinn berlari ke arah barisan pertama hadirin yang ada dan menyentuh kepala dan menyebabkan orang rebah. Adalah perbuatan-perbuatan ini menyamai perbuatan Kristus? Penjaja yang menonjol seperti Hinn yang mana tinggal di dalam sebuah mahligai hasil pemberian mereka yang terdesak membawa kepada peneguran di dalam nama Kristus. Mereka yang terus mengikut guru-guru palsu ini secara membuta tuli menyebabkan gereja kelihatan mudah tertipu di mata dunia, yang sememangnya, bagi kebanyakkan yang memberikan nama kepada Nama Kristus adalah seperti itu.

Sebagai Kristian, kita adalah orang yang berpegang kepada iman. Memang ada keengganan untuk percaya bahawa sesiapa yang mengaku mempunyai hubungan dengan Kristus boleh menjadi tidak jujur dan tidak beretika. Ditambah lagi, ramai yang mahu percaya bahawa individu seperti Hinn adalah bukti Tuhan masih bekerja. Dan sememangnya, Tuhan masih Tuhan Mukjizat. Tapi iman Alkitabiah bukanlah iman yang buta atau tidak rasional. Kini adalah masanya umat Tuhan menuntut lebih dari sekadar cerita anekdotal daripada mereka yang mengaku memiliki kuasa seperti para rasul. Sementara dokumentasi untuk mukjizat sebenar kurang, dokumentasi untuk mereka yang mati semasa kempen Hinn, seperti di Kenya, tidak. [18] Mukjizat yang dilakukan oleh Kristus dan para rasul adalah benar. Perkara yang sama tidak dapat dikatakan untuk Benny Hinn dan mereka yang sepertinya.


Nota
1 Kamus bergambar Webster
2 Norman Geisler, Signs and Wonders, 24.
3 Ibid., 24.
4 Lihat Sandy Simpson, respon Benny Hinn kepada Dateline NBC, (1 November 2003) dilihat di www.deceptioninthechurch.com/hinndatelineresponse.html yang menyebut kemunculan Hinn di program TV Praise The Lord, 29 Disember, 2002.
5 Kamon Simpson, "Benny Hinn: faith healer or fraud?", Kansas City Star (8 Ogos 2003). Artikel asal diterbitkan di Colorado Springs Gazette.
6 G. Richard Fisher and M. Kurt Goedelman, The Confusing World of Benny Hinn , 64-65. Emphasis added.
7 William Lobdell, "The Price of Healing" majalah L.A Times (27 Julai 2003)
8 Ibid.
9 M. Kurt Goedelman, Hinn, Bonnke Focus of HBO Special, boleh dilihat di www.pfo.org/hinnhbo [sudah tidak berfungsi]. Rancangan khas disiarkan pada Ahad Easter, 2001. Kempen penyembuhan Bonnke berlaku di Nigeria dan hasilnya lebih teruk dari Hinn. Semasa Bonnke berucap dan menimbulkan ketakutan terhadap sihir dan sumpah, hadirin menjadi takut dan 15 orang dipijak sehingga mati semasa cuba lari dari kawasan tersebut.
10 Ibid.
11 Fisher and Goedelman, The Confusing World of Benny Hinn, 111.
12 James Randi, The Faith Healer. Bab 5-14 adalah penyelidikan mendalam beberapa pelayanan penyembuhan. Latar belakang En. Randi iaitu seorang ahli silap mata memberinya perspektif yang unik dalam menilai pelayanan-pelayanan ini. Organisasi Randi telah menawarkan $10,000.00 untuk sesiapa yang dapat menunjukkan mukjizat sebenar, dan sehingga hari ini, belum lagi dibayar kepada sesiapa.
13 "Treatment of Low Back Pain", artikel internet yang paparkan pada 2000 di spine-health.com.
14 Geisler, Signs and Wonders, 56.
15 Lobdell, "The Price of Healing".
16 Ibid.
17 Insiden ini, serta kes-kes lain yang merisaukan, boleh ditonton dengan melawat laman web Benny Hinn dan menonton episod lama This Is Your Day.
18 Lihat Personal Freedom Outreach Journal (2000), boleh dilihat di laman web http://www.pfo.org/four-die.htm.

Ulasan