Langkau ke kandungan utama

Tiada Kitab di dalam Alkitab yang hilang- oleh Greg Koukl (terjemahan)

Artikel ini ditulis oleh Greg Koukl. Tajuk asal adalah No Lost Books of the Bible dan boleh dibaca di siniPenerangan di dalam tanda [..] dan berwarna perang adalah tambahan dari saya untuk menjelaskan istilah tertentu yang memerlukan penjelasan lanjut.

Ada yang mendakwa terdapat 'kitab yang hilang' yang sepatutnya dimasukkan di dalam Alkitab. Menurut Greg pandangan ini tidak masuk akal, samada anda percaya atau tidak Alkitab mempunyai sumber yang bersifat supernatural.



Seluruh persoalan tentang kitab Alkitab yang hilang tergantung kepada apa itu Alkitab. Alkitab hanya boleh menjadi dua perkara. Apa yang kita maksudkan apabila kita menggunakan perkataan 'Alkitab'? Ya, samada Alkitab adalah Firman supernatural dari Tuhan -- Tuhan secara supernatural memimpin penghasilan dan pemeliharaannya. Atau ia adalah pernyataan kepercayaan oleh para pemimpin Kristianiti. Mereka mengatakan 'ini yang kami percayai'. Tanpa mengambil kira elemen supernatural, ia didasarkan dengan persetujuan. Katakan kitalah satu-satunya Kristian yang wujud di dunia ini. Kita percaya akan perkara ini, tetapi tidak kepada perkara itu maka ia dibuang kerana tidak mencerminkan apa yang kita percayai. Setiap kumpulan berhak untuk menentukan apa yang mereka percayai.

Sekarang, perhatikan, terdapat dua cara untuk melihat hal ini: melalui perspektif supernatural atau semula jadi. Saya akan mempertahankan pendapat bahawa tidak ada cara lain untuk melihat persoalan ini; tiada pilihan lain. Siapa pun anda, anda hanya boleh melihat Alkitab sebagai Firman Tuhan (kebanyakan Kristian konservatif berpegang kepada pandangan ini, dalam bentuk yang berbeza-beza), atau Alkitab hanyalah pernyataan kepercayaan oleh gereja awal, tanpa mengandungi sebarang unsur supernatural. Hampir seluruh dunia melihat hal ini demikian.

Sekarang, persoalan tentang kitab yang hilang timbul. Namun masalah saya sekarang ialah: Bagaimana mungkin wujud kitab Alkitab yang hilang?

Adakah mungkin wujudnya kitab Alkitab yang hilang menurut pandangan pertama perkataan Alkitab? Tunggu sekejap, jika Tuhan memimpinnya secara supernatural, maka Tuhan terlibat secara supernatural dalam memastikan kitabNya ditulis dan dipelihara. Maka kita mempunyai perlindungan dari Tuhan secara supernatural jika ia [Alkitab] mempunyai kualiti supernatural. Anda mungkin tidak percaya kepada elemen supernatural, namun anda boleh melihat dari pandangan ini bahawa adalah mustahil untuk mengatakan Tuhan boleh kehilangan kitabNya sendiri. 'Tapi manusia yang menulisnya...' Anda boleh membuatkan anjing anda duduk? Sudah tentu. Jika anda seorang manusia biasa boleh membuatkan anjing anda duduk, tidakkah Tuhan yang tidak terbatas boleh memantau pemeliharaan FirmanNya? Ia tidak memberi sebarang perbezaan samada manusia atau monyet yang bertanggungjawab memeliharanya.

Mungkin Alkitab tidak bersifat supernatural, ia adalah pernyataan kepercayaan oleh para pemimpin gereja. Baiklah, jika begitu, siapa yang memberikan kata putus untuk memilih kitab mana yang dimasukkan ke dalam Alkitab? Para pemimpin gereja awal. Maka, ini bererti sebarang kitab yang dikeluarkan bukanlah sebahagian dari Alkitab. Ia adalah keputusan mereka untuk memilih kitab yang mewakili kepercayaan mereka. Dan jika mereka mengatakan Injil Tomas bukanlah kitab mereka dan ada orang lain yang menemuinya dua ribu tahun kemudian dan mengatakan ia adalah kitab yang hilang dari Alkitab, maka adalah wajar untuk bertanya 'Bagaimana kitab ini dikatakan sebagai kitab yang hilang dari Alkitab?' Ia mungkin kitab kuno yang hilang, sebuah penemuan arkeologi yang hebat, sebuah hasil kesusasteraan yang indah, tetapi kitab Alkitab yang hilang? Tidak.

Alkitab hanya boleh menjadi samada kitab supernatural, atau kitab bukan-supernatural. Jika ia supernatural -- jika Tuhan bertanggungjawab terhadap penulisannya, penyebarannya dan pemeliharaannya -- maka Tuhan, sebagai Tuhan, melakukan tugas dengan baik. Tuhan tidak melakukan kesilapan, Dia tidak akan lupa, Dia tidak akan keliru tentang betul dan salah, dan Dia tidak pelupa -- Dia tidak akan kehilangan apa yang diajarNya.

Jika Alkitab tidak bersifat supernatural -- seperti yang dipertahankan oleh ramai orang, terutamanya oleh mereka yang mendakwa telah menemui kitab-kitab yang hilang -- kita mempunyai masalah lain. Dengan standard apa kita mendakwa dengan yakin bahawa ini adalah kitab Alkitab yang hilang? Jika, menurut perspektif manusia, Alkitab adalah koleksi penulisan yang mencerminkan kepercayaan para pemimpin Kristianiti awal, maka, berdasarkan definisi demikian, kitab-kitab yang dikeluarkan memang bukan sebahagian daripada Alkitab. Ia seperti anda menulis sebuah buku tentang kepercayaan anda melalui idea-idea yang anda kumpulkan beberapa tahun sebelumnya, kemudian seseorang menyelongkar sampah anda dan menemui kepercayaan lain yang tidak anda sertakan, dan seterusnya mendakwa ia adalah rahsia atau kepercayaan anda yang telah hilang. Anda menjawab, 'Tidak, ia bukan kepercayaan saya; itulah sebabnya ia ada di dalam sampah saya. Jika ia benar-benar kepercayaan saya, ia akan berada di dalam buku ini.'

Ironiknya, ramai penyokong kepada 'kitab yang hilang' ini mengatakan kitab yang mereka temui ini, kitab seperti apa yang dipanggil sebagai Injil Tomas, hilang kerana para bapa gereja awal 'menyembunyikan', dengan kata lain Kristian awal membuangnya. Dan tuduhan mereka benar. Mereka [Kristian awal] memang membuangnya. Para pengkritik menyangka hal ini menguatkan kes mereka. Tidak; ia memusnahkannya, kerana ia membuktikan kitab-kitab ini tidak diterima oleh para pemimpin tersebut sebagai mewakili kepercayaan mereka. Maka, ia tidak sepatutnya berada di dalam Alkitab.

Mereka yang berada di dalam kumpulan Jesus Seminar menggunakan pendekatan yang berbeza. Mereka menolak Alkitab mempunyai sumber supernatural. Memandangkan ia hanyalah pendapat manusia, kita sepatutnya membunag undi sekali lagi terhadap Alkitab dan memperbaiki kecacatan yang ada. Kita perlu mengumpul semula dan menyusun semula susunan yang ada, membuang kitab tertentu dan memasukkan yang lain untuk mencerminkan kepercayaan gereja hari ini tentang kebenaran rohani, iaitu 'Apa yang dipercayai oleh Jesus Seminar hari ini tentang kebenaran rohani'. Mereka tidak lagi menggunakan pendekatan 'kitab yang hilang'.

Oleh itu, walau apa pun pandangan anda tentang Alkitab -- supernatural atau tidak -- adalah tidak masuk akal untuk mengatakan wujudnya kitab Alkitab yang hilang. Maka adalah mustahil, secara munasabah -- tidak berkaitan langsung dengan komitmen rohani -- wujud sebarang kitab Alkitab yang hilang. Frasa ini tidak masuk akal.

Ulasan