Langkau ke kandungan utama

Menjawab buku "101 Bukti Yesus (Nabi Isa) Bukan Tuhan" - bukti 3

Adalah disarankan untuk anda membaca dahulu buku "101 Bukti Yesus (Nabi Isa) Bukan Tuhan" atau membaca respon ini bersama-sama dengan buku tersebut.


Bukti seterusnya mempunyai hujah yang agak tidak logik, dikatakan,
"Dan engkau Betlehem, tanah Yehuda, engkau sekali-ali bukanlah yang terkecil di antara mereka yang memerintah Yehuda, karena daripadamulah akan bangkit seorang pemimpin, yang akan menggembalakan umatKu Israel." (Matius 2:6).
Yesus dinubuatkan Tuhan untuk menjadi seorang pemimpin yang akan menggembalakan umatnya Israel.
  • Setiap yang dinubuatkan Tuhan, pasti bukan Tuhan.
  • Yesus dinubuatkan Tuhan, berarti Yesus bukan Tuhan.
  • Setiap yang dijadikan penggembala bagi umat Israel, pasti bukan Tuhan.
  • Yesus dijadikan penggembala bagi Israel, berarti Yesus bukan Tuha.
(kesilapan ejaan di atas dikekalkan seperti yang terdapat di dalam buku tersebut)

Matius 2:6 sebenarnya memetik ayat dari kitab Mikha 5:1 yang tertulis,
TUHAN berfirman, "Hai Betlehem Efrata, engkaulah salah satu kota yang terkecil di negeri Yehuda, tetapi daripadamu Aku akan memberi Israel seorang penguasa; asal usul nenek moyangnya bermula dari zaman purba."

- Perhatikan, adakah ayat ini menghadkan hanya manusia yang boleh menjadi 'pemimpin' tersebut?
- Hujah yang diberikan memasukkan idea yang tidak terdapat di dalam pengertian ayat tersebut.
- Di katakan setiap yang dijadikan gembala bagi umat Israel, dia bukan Tuhan, TETAPI, Tuhan sendiri menjadi Penggembala untuk umat Israel,
Mazmur 23:1
Mazmur Daud. TUHAN ialah gembalaku; aku tidak kekurangan apa-apa.
Maka, jika kita mengikut logik hujah yang diberikan, memandang Tuhan sendiri menjadikan DiriNya sebagai Gembala, adakah itu bererti Dia bukan Tuhan?

Selain itu, perhatikan,
- Dikatakan "Setiap yang dinubuatkan Tuhan, pasti bukan Tuhan." Atas dasar apa kenyataan ini dianggap sebagai kebenaran? Tidak diberikan sebarang dasar. Penulis hanya memberikannya dan mahu kita menerimanya sebagai kenyataan yang benar.
- Kemudian, "Yesus dinubuatkan, bererti Yesus bukan Tuhan." Kenyataan pertama tadi masih belum dijelaskan, tetapi penulis sudah membuat kesimpulan berdasarkan kenyataan sebelumnya.

Bagaimana jika Tuhan boleh menubuatkan DiriNya sendiri, kerana Dia adalah Tuhan (tiada yang mustahil bagiNya). Maka, kenyataan "Yesus dinubuatkan, bererti Yesus bukan Tuhan" menjadi tidak berguna dan sekadar andaian penulis. Kerana, seperti yang dinyatakan di dalam bukti 1 sebelum ini, Yesus sudah ada sebelum Dia dilahirkan.

Maka, Yesus adalah Tuhan yang datang ke dalam dunia manusia melalui proses kelahiran manusia, dan dengan menggunakan tubuh manusia, Dia menggenapi sendiri nubuat tentang "Pemimpin" tersebut.

Oleh itu, adakah hanya kerana Yesus menjadi pemimpin menjadikanNya bukan Tuhan?

Kembali ke indeks.

terjemahan ayat Alkitab yang digunakan adalah terjemahan Berita Baik.

Ulasan