Langkau ke kandungan utama

Kristianiti dan Pengetahuan Bukan-Empirik

Artikel ini diterjemahkan dari laman web J.P. Moreland dan artikel asal boleh di baca di sini.

Sebelum ini, kita telah melihat sifat pengetahuan dan kita mendefinisikannya seperti berikut: Ia mewakili (seperti pengalaman atau pemikiran) realiti yang sebenarnya berdasarkan dasar yang mencukupi, berdasarkan bukti yang kukuh, pengalaman, intuisi, kesaksian dan lain-lain. Kita juga telah melihat bahawa terdapat tiga jenis pengetahuan: 1) Pengetahuan melalui pengalaman: Ia berlaku apabila kita menyedari sesuatu secara terus, contohnya, apabila saya melihat sebiji epal di hadapan saya atau mengambil perhatian terhadap perasaan dalaman saya, saya mengetahui semua ini melalui pengalaman. 2) Pengetahuan melalui usul: Ini adalah pengetahuan bahawa keseluruhan sesuatu usul itu adalah benar. Pengetahuan melalui usul adalah kepercayaan benar yang wajar; ia adalah mempercayai sesuatu bersandarkan dasar yang mencukupi. 3) Tahu-bagaimana: Ini adalah pengetahuan atau kemahiran, selalunya berdasarkan kedua jenis pengetahuan yang lain, untuk melakukan sesuatu, contohnya, menggunakan epal untuk tujuan tertentu.

Namun, sebagai Kristian, kita tidak hanya mempunyai komitmen terhadap pengetahuan, walau sepenting mana pun ia. Kita juga mempunyai komitmen terhadap pelbagai pengetahuan bukan-empirik, seperti, pengetahuan yang tidak memerlukan ia boleh dilihat, dihidu, dirasa, disentuh atau didengar untuk kita mengetahuinya: pengetahuan tentang Tuhan, jiwa, nilai moral, iblis dan malaikat, dan lain-lain lagi. Tapi, adakah perkara seperti ini wujud? Jawapannya ialah, "Ya, sudah tentu!" dan seterusnya saya akan menidakkan dakwaan bahawa semua pengetahuan adalah empirikal (iaitu, mesti dapat dipastikan menggunakan kelima-lima deria yang ada) dan memberikan contoh pengetahuan yang bukan-empirik.



Menyatakan Sesuatu Yang Tidak Mungkin
Kadang kala ada yang menyatakan sesuatu yang tidak munsabah untuk dinyatakan. "Saya tidak dapat bercakap sepatah pun Bahasa Malaysia", "Tidak ada yang benar", "Tiada ayat yang lebih panjang dari tiga perkataan", semua ini adalah contoh tersebut. Mengapa? Kerana ia menidakkan diri sendiri. Setiap kenyataan ini adalah contoh untuk sesuatu yang menidakkan kenyataan itu sendiri. Kenyataan "Hanya ada pengetahuan dan kebenaran bersifat empirikal" itu sendiri bukanlah suatu pengetahuan atau kebenaran bersifat empirikal. Tidak terdapat apa-apa yang dapat dilihat, disentuh, dirasa, dihidu atau didengar (maksud saya dalam "didengar" adalah bunyi dan bukan maksud atau isi yang dikeluarkan darinya, kerana maksud dan isi itu sendiri bersifat bukan-empirik; lihat di bawah) yang dapat memberikan bukti kepada kenyataan tersebut. Jika anda tidak bersetuju, tanya diri anda: Apa cara yang dapat mengesahkan bahawa kita tidak sepatutnya percaya atau mengandaikan sesuatu yang tidak dapat diperiksa dengan kelima-lima deria kita? Bunyi apa? Bolehkah bau, rasa atau sentuhan memberitahu kita bahawa ia benar?
Sudah tentu tidak. Kerana kenyataan tentang empirikisme itu sendiri bukanlah perkara yang dapat diuji melalui sesuatu yang boleh dilihat, dihidu, dirasa, disentuh atau didengar, ia tidak dapat diuji menggunakan kelima-lima deria kita. Maka, ini bererti kenyataan ini sendiri gagal mencapai standard penerimaan yang diberikannya sendiri, oleh itu, ia menidakkan diri sendiri.

Contoh Pengetahuan Bukan-Empirik
Saya akan memberikan beberapa contoh pengetahuan bukan-empirik. (Untuk meringkaskan, saya akan menggunakan perkataan "melihat" sebagai seerti dengan "menguji sesuatu dengan kelima-lima deria". "Saya boleh melihat kesan graviti" akan mempunyai maksud yang sama dengan "Saya boleh menguji kesan graviti dengan kelima-lima deria saya.")

Pertama, kebenaran (perhubungan di antara kesepadanan atau kesesuaian di antara pemikiran/andaian dengan realiti) bukanlah sesuatu yang dapat kita lihat, maka jika kita hanya terbatas kepada kelima-lima deria kita, kita tidak akan dapat memahaminya. Jika saya percaya bahawa buku yang saya pesan berada di dalam kedai buku tersebut, dan kemudian pergi ke kedai buku tersebut dan melihat buku tersebut, saya tahu kepercayaan saya tentang buku tersebut adalah benar. Saya boleh melihat buku itu, namun saya tidak dapat melihat kepercayaan saya bahawa buku itu ada di sana, termasuk perhubungan yang saling berpadanan di antara buku yang berada di sana dan kepercayaan saya bahawa ia ada di sana. Jika isteri saya memberitahu bahawa saya marah dan saya tidak pasti sama ada dia benar atau tidak, saya boleh mengintrospek dan memutuskan hal tersebut. Jika saya berfikir "saya marah" dan menggunakannya untuk menyelidiki perasaan dalaman saya, apabila saya mengalami perasaan marah, saya akan mengetahui isteri saya berkata benar. Namun saya tidak dapat melihat fikiran saya sendiri ("saya marah"), saya tidak dapat melihat keadaan emosi marah itu sendiri dan saya tidak dapat melihat kesepadanannya di antara pemikiran dan perasaan marah saya. Kebenaran itu sendiri tidak dapat dirasakan.

Contoh terakhir di atas menimbulkan satu lagi alam pengetahuan bukan-empirik: Kesedaran terhadap kesedaran diri sendiri. Anda mengetahui perasaan, sensasi, pemikiran, kepercayaan, keinginan dan banyak lagi tanpa menggunakan kelima-lima deria anda. Malah, anda tidak pernah melihat perasaan atau pemikiran dan lain-lain seumur hidup anda! Semua hal ini diketahui melalui introspektif pertama diri sendiri dan bukan melalui deria. (Kerja rumah: Bagaimana anda tahu orang lain mempunyai minda, contohnya, fikiran, merasa kesakitan, dan lain-lain? Petunjuk: Sebahagian dari jawapannya ada melibatkan kelima-lima deria - memerhatikan gerak tubuh dan mendengar bunyi dari mulut mereka. Namun bahagian yang satu lagi tidak.)

Kedua, pengetahuan itu sendiri bukanlah sesuatu yang boleh kita lihat dengan munasabah jika kita terbatas hanya kepada kelima-lima deria kita. Untuk meyakinkan diri anda tentang hal ini, baca artikel saya sebelum ini tentang pengetahuan fikirkan sama ada definisi pengetahuan atau perbezaan jenis-jenis pengetahuan yang saya berikan dapat dilakukan dengan hanya menggunakan kelima-lima deria seseorang itu. Atau lakukan hal ini: Katakan pengetahuan adalah apa yang rakan sebaya kita benarkan untuk dipercayai oleh kita. Melalui pandangan ini, semua yang saya perlukan untuk mengetahui bumi adalah rata (contohnya) adalah apabila rakan sebaya membenarkan saya mengatakan demikian. Tujuan kita mendefinisikan pengetahuan adalah untuk memastikan perkara yang patut kita percaya atau tidak; namun bagaimana kita dapat menilai definisi ini jika kita terbatas kepada apa yang hanya dapat diuji menggunakan kelima-lima deria kita? Melalui pengembaraan angkasa, kenyataan "bumi adalah rata" dapat diuji menggunakan kelima-lima deria, dan ia adalah palsu. Namun, kenyataan "anda tidak seharusnya mengisytiharkan sesuatu yang palsu" tidak dapat diuji menggunakan kelima-lima deria kita, termasuk kenyataan "anda tidak sepatutnya mengisytiharkan bumi adalah rata walaupun rakan sebaya anda membenarkan anda berbuat demikian." Namun, walaupun kita tidak dapat menghidu, merasa, menyentuh, mendengar atau melihat kenyataan kita tidak sepatutnya mengisytiharkan bumi adalah rata, memang jelas kita tidak sepatutnya mengisytiharkannya! Pemerhatian ini membuktikan (dan menjadi sesuatu itu terbukti juga sesuatu yang tidak dapat kita kesan melalui deria kita) bahawa betapa tidak masuk akal jika empirikisme dijadikan panduan untuk pengetahuan.

Ketiga, pengetahuan normatif (pengetahuan tentang apa yang sepatutnya dan tidak sepatutnya) bukan berdasarkan deria. Kita juga tahu banyak perkara lain yang tidak dapat diuji menggunakan deria. Saya tidak mendapat pengetahuan normatif dengan menguji menggunakan deria. Saya tahu apa perkara yang patut atau tidak patut saya percayai (normatif kemunasabahan), apa perkara yang patut atau tidak patut saya lakukan (normatif moral), dan apa perkara yang patut atau tidak patut saya katakan sebagai indah (normatif estatik). Namun saya tidak dapat menguji semua kenyataan ini dengan kelima-lima deria saya. Saya hanya boleh menguji tentang ya atau tidak menggunakan deria saya; saya tidak dapat menguji apa yang sepatutnya dan tidak sepatutnya.

Terakhir, terdapat beberapa kajian di dalam sains yang tidak dapat diuji menggunakan kelima-lima deria. Contohnya, kita tidak dapat melihat, menyentuh, merasa, mendengar atau menghidu medan magnet, namun kita tahu ia wujud. Kita boleh melihat atau merasa kesan medan tersebut (contohnya, serbuk besi yang membentuk corak-corak tertentu), namun kita tidak dapat melihat medan itu sendiri. Kita membuat kesimpulan bahawa wujud medan tersebut untuk menjelaskan kesan yang berlaku.

Deria-deria ini adalah panduan yang sangat baik dalam memberikan kita pengetahuan empirik, namun ia tidak cukup untuk menjadi panduan kepada pengetahuan bukan-empirik. Kedua-duanya asli, sama penting, dan kedua-duanya adalah Alkitabiah.

Faedah:
  • Ia memberi penerangan jelas tentang perbezaan di antara pengetahuan empirik dan bukan-empirik.
  • Ia menunjukkan bagaimana pengetahuan bukan-empirik berkaitan dengan tiga jenis pengetahuan utama.
  • Ia memberikan contoh pengetahuan bukan-empirik.
  • Ia menjelaskan perbezaan dan perkaitan di antara kebenaran dan pengetahuan.

Ulasan